Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B.Sathianathan menegaskan kejayaan positif skuad muda dalam kempen AFF bawah 15 tahun (B-15) dan B-18 bukan hadir di bawah kepimpinan satu individu semata-mata.

Sebaliknya Sathia menegaskan prestasi memberangsangkan skuad junior negara ini adalah hasil kerja keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan jalinan kerjasama erat bersama kerajaan pusat.

Justeru pengendali Selangor itu menyifatkan tidak patut mana-mana pihak mendakwa kejayaan pasukan muda kebangsaan hadir daripada seorang individu di mana Sathianathan menegaskan permulaan baharu bola sepak negara adalah hasil daripada penglibatan semua pihak.

B.Sathianathan

Sumber Gambar: Stadium Astro

Bagaimanapun, Sathianathan turut mengakui mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin antara nama yang wajib dimaksudkan selepas menyaksikan kebangkitan prestasi pasukan muda negara di pentas antarabangsa.

“Tiada siapa boleh ‘claim’ kejayaan hari ini (skuad B-15 dan skuad B-18) adalah inspirasi atau ilham daripada satu individu tetapi ini adalah hasil daripada kerja berpasukan di antara FAM dan kerajaan pusat. Jika anda masih bertanyakan kepada saya siapakah individu bertanggungjawab, secara peribadi saya boleh sebutkan dua nama iaitu Khairy dan Hamidin, bukannya orang lain.

Lim teong kim

Adakah Lim Teong Kim tidak dibenarkan untuk claim kejayaan skuad B-15 dan B-18 ?

“Ini kerana kita harus ingat Khairy yang membentangkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) kepada parlimen di mana ini adalah kali pertama bola sepak berada dalam agenda negara. Jadi idea Khairy ini membuktikan pemain-pemain muda kita sebenarnya memiliki potensi besar manakala peranan Hamidin pula mengembangkan idea Khairy menjadi lebih baik mengikut kesesuaian bola sepak tempatan, sesuai dengan kepimpinan dan ketokohan beliau dalam bola sepak tempatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Sathia menegaskan pelaksanaan program pembangunan akar umbi ini adalah usaha yang sentiasa tidak menjadi pertikaian daripada mana-mana pihak. Namun Sathia mengingatkan semua pihak harus bekerja lebih keras dan memastikan kebangkitan pasukan muda negara berada dalam landasan yang betul.

B.Sathianathan

Sumber Gambar: Sukan Sinar

“Seingat saya, tiada lagi mana-mana pihak menuduh program berkaitan pembangunan akar umbi adalah satu projek yang gagal termasuk NFDP. Mungkin ada segelintir pihak silap tafsir maksud kegagalan sebagai jurulatih dan pengarah teknikal atau sebagainya.

“Seperti saya katakan tadi, jika sesiapa yang dilantik pun akan menikmati kejayaan positif kerana kita sebenarnya memiliki ramai pemain-pemain muda berbakat besar. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan muda negara tetapi perjalanan kita masih jauh dan saya percaya kita harus berusaha lebih keras untuk mengekalkan prestasi positif ini,” ujarnya

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group