Kejayaan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menunaikan segala janji kepada pemain menjadi antara kunci utama skuad Sabah bergelar juara Liga Premier 2019.

Tiada lagi janji kosong apabila kebajikan pemain cukup terjaga oleh pengurusan SAFA yang sebelum ini mengganggu perjalanan skuad Tembadau.

Perkara itu diakui oleh lagenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan yang mengikuti rapat perkembangan skuad kendalian Jelius Ating musim ini sekali gus menamatkan penantian 23 tahun tanpa sebarang piala.

Matlan Marjan

Sumber Gambar: MFL

Jelasnya, kejayaan itu tidak akan hadir seandainya pemain-pemain dihimpit tekanan masalah gaji dan sebagainya.

Tahap pengurusan pasukan Sabah yang kini di bawah kendalian presiden yang juga seorang bekas pemain iaitu Datuk Peter Anthony wajar dipuji kerana berjaya menjaga segala keperluan pemain Sabah untuk memastikan mereka kembali ke kancah Liga Super 2020.

“Selama saya mengikuti perkembangan pasukan Sabah, saya lihat sebelum ini masih ada masalah gaji dan kebajikan lain yang menghimpit pemain.

“Namun, kini kita dapat lihat pemain-pemain Sabah sudah bebas daripada masalah itu dan ini semua atas usaha keras daripada tahap pengurusan sendiri yang tidak pernah lepas tangan.

Matlan Marjan

Sumber Gambar: MFL

“Selepas Peter Anthony mengambil alih, banyak perubahan positif yang berlaku selain dia menunaikan apa yang dijanjikan dan membuatkan pemain lebih bersemangat untuk berbakti kepada pasukan sehingga berjaya.

“Tiada rungutan-rungutan yang tidak sepatutnya kita dengar daripada pemain dan perkara sebegitu amat penting untuk memastikan mereka boleh fokus sebaiknya dalam memberikan aksi terbaik dalam padang”, katanya yang pernah menjulang trofi Piala FA 1995 bersama Sabah.

Paling utama, bekas penyerang Sabah era 90an ini harap aksi yang lebin konsisten dapat ditampilkan oleh pasukan Sabah dalam harungi cabaran baharu di Liga Super 2020.

Bahkan, pengendalinya, Jelius Ating perlu lebih bijak dalam menghasilkan taktikal dan perancangan yang lebih kreatif dan berbeza daripada apa yang telah dilakukan ketika beraksi di Liga Premier kerana jurang persaingan yang lebih jauh menanti mereka pada musim depan.

Matlan Marjan

Sumber Gambar: MFL

“Strategi tidak boleh sama, perlu lebih kreatif dan lebih bijak dalam menghasilkan skuad terbaik untuk beraksi di pentas Liga Super.

“Daripada segi latihan pula, usaha perlu digandakan lebih banyak daripada apa yang dilakukan ketika di Liga Premier dan persiapan perlulah bermula daripada sekarang.

“Nak layak ke Liga Super bukan senang, tetapi untuk mengekalkan aksi terbaik juga sukar jika tiada perancangan rapi,”jelasnya.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group