Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menganggap kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu menjadi pemangkin kepada moral pemain negara untuk melakar kejayaaan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

JDT mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Skuad Harimau Selatan itu mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata selepas mengharungi enam perlawanan.

“Tahniah Johor Darul Ta’zim! Kejayaan ini bukan sahaja mampu menaikkan moral pemain negara untuk mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat tertinggi tetapi diharap menjadi contoh terbaik kepada bola sepak negara.

“Terbukti dengan kerja keras serta perancangan yang baik seperti diusahakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, semuanya membuahkan hasil yang amat membanggakan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap permainan, kualiti dan mutu bola sepak negara seiring untuk bersaing dengan kelab dari kuasa besar bola sepak Asia,” katanya.

Katanya lagi, kejayaan manis ini juga mampu menaikkan lagi semangat pemain JDT untuk melakar kejayaan di pusingan seterusnya.

“Sememangnya ia kemenangan penuh dramatik tetapi cukup bergaya, membuktikan pemain-pemain cukup berdaya saing,” katanya.

Kejayaan semalam adalah kemenangan kedua skuad kendalian Benjamin Mora ke atas Ulsan Hyundai dalam saingan ACL kali ini selepas turut menang dengan jaringan sama pada pusingan pertama sebelum ini.

Kelab dari Selatan tanah air itu menjadi satu-satunya pasukan dari kumpulan I yang berjaya layak ke pusingan seterusnya. Meskipun kelab Jepun, Kawasaki Frontale menduduki tangga kedua, namun mereka tidak layak.

Ini kerana Kawasaki bergantung pada slot tempat kedua terbaik dalam kumpulan dan hasrat mereka untuk mara ke pusingan kalah mati itu berkecai apabila kedudukan terkini menyaksikan kelab itu gagal memintas Melbourne City dan Kitchee FC untuk merebut satu lagi slot terakhir tempat kedua terbaik.

Ia berpunca daripada kekalahan 2-3 mereka kepada Ulsan Hyundai walaupun mencatat kemenangan besar ke atas JDT, 5-0 beberapa hari lalu. Sebarang keputusan menentang pasukan tercorot, Guangzhou FC tidak dikira.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

JDT Raih RM914,526 Untuk Bonus Peringkat Kumpulan Dan RM435,488 Layak Ke Peringkat Kalah Mati

ACL 2022: Kawasaki Frontale Sah Tak Layak Ke Pusingan 16

ACL 2022: Aksi Dramatik Minit Akhir Pastikan JDT Lakar Sejarah Baharu