Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA FC), Khamal Idris Haji Ali dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan skuad kenari selamat tiba di Turkiye untuk siri jelajah Pra Musim sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia 2023.

Perkembangan itu sekaligus melegakan penyokong dan ahli keluarga yang bimbang menanti keadaan terkini pasukan susulan kejadian gempa bumi yang melanda negara tersebut semalam.

Khamal Idris turut mengesahkan jadual KDA FC di Turkiye tidak terjejas kerana lokasi gempa bumi berada jauh dari kem latihan mereka di Antalya.

“Untuk makluman semua, delegasi berlepas ke Istanbul, Turkiye semalam dari KLIA jam 11.00 malam dan tiba di Istanbul jam 10.00 pagi waktu tempatan (Turkiye).

“Ketika kenyataan ini dikeluarkan pasukan masih dalam penerbangan transit ke Antalya dan dijangka tiba jam 12.00 tengahari waktu tempatan.

“Kejadian gempa bumi di Turkiye adalah di zon yang berbeza dan tidak mengakibatkan jadual pasukan terjejas dan 4 perlawanan persahabatan akan berlangsung di Limak Arcadia Sports Center diteruskan seperti perancangan awal,” katanya.

Satu gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan tenggara Turki semalam, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), menyebabkan sejumlah bangunan di beberapa buah bandar runtuh, manakala kerosakan turut berlaku di negara jiran, Syria.

Pegawai-pegawai tempatan berkata, 53 orang terkorban, namun angka korban dijangka terus meningkat kerana bencana berlaku ketika penduduk sedang tidur.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan berada di Turkiye selama 10 hari dan mereka dijadualkan menentang kelab dari Uzbekistan, Ukraine dan dua kelab dari Kazakhstan.

Sang Kenari akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari).

Difahamkan semua aksi ini akan berlangsung pada jam 5 petang waktu tempatan (Turkiye) bersamaan 10 malam waktu Malaysia.

Lebih menarik, mereka akan menginap di Limak Arcadia Sports Resort yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan seperti padang bola sepak, gelanggang tenis, padang golf, gymnasium serta kolam renang untuk aktiviti ‘recovery’ pemain.