Pengurus besar skuad kebangsaan Kemboja yang juga legenda Jepun, Keisuke Honda terbuka dengan idea untuk beraksi dalam saingan liga bola sepak negara itu pada masa akan datang.

Menurut laporan Khmer Times, Honda tidak menolak idea tersebut namun menegaskan perkara itu tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat.

“Perkara ini tidak akan berlaku pada tahun hadapan, tapi pada masa akan datang. Saya sedang mempertimbangkan cadangan itu,” Kata bekas pemain AC Milan dan Melbourne Victory itu.

Keisuke Honda sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pengelola liga, Liga Premier Kemboja (CPL), media tempatan dan juga wakil kelab yang beraksi dalam saingan divisyen utama negara itu.

Sebelum ini, Honda berpendapat Kemboja memerlukan waktu yang cukup lama untuk mencapai tahap dua pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini iaitu Thailand dan Vietnam.

Menurut Honda, semua pihak perlu bersikap realistik dan bersabar kerana banyak aspek yang perlu diperbaiki sebelum muncul sebagai salah satu kuasa besar di rantai ini. Honda menegaskan mustahil untuk Kemboja mencapai tahap dua pasukan tersebut dalam jangka tiga atau empat tahun yang akan datang.

“Itu mustahil. Secara realistiknya, kita tidak boleh melompat. Kita tidak boleh mengubah sesuatu secara drastik. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 10 atau 20 tahun untuk mencapai tahap seperti mereka.

“Ia satu perancangan jangka panjang. Apa yang perlu kita lakukan terlebih dahulu ialah menerapkan budaya bola sepak di negara ini. Mereka adalah lawan kami di peringkat antarabangsa. Kita perlu tanya berapa banyak mereka melabur dalam bola sepak mereka. Negara seperti Thailand dan Vietnam telah melabur banyak dalam bola sepak.

“Jika mahu seperti mereka, negara ini perlu melabur lebih banyak dan melakukan perubahan dari semua sudut,” katanya.

Meskipun begitu, Honda berpendapat bola sepak Kemboja telah menunjukkan perkembangan yang positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ada perubahan sedikit demi sedikit setiap tahun. Ini cabaran yang sangat sukar. Namun tiada yang mustahil, walaupun berdepan dengan kuasa besar di rantau ini.

Bagi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Kemboja diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina dan pemenang aksi play-off antara Timor Leste menentang Brunei.