Kehilangan dua bintang utama, Ahmad Khuzaimi Piee dan Ahmad Syihan Hazmi pada musim depan tidak menggusarkan pengendali Negeri Sembilan FC, K. Devan bagi hadapi musim 2023.

Jelas Devan, beliau sudah cuba mendapatkan pengganti yang bersesuaian walaupun sedar pasti akan ada perbandingan daripada penyokong-penyokong.

Ditambah sebahagian besar pemain dari musim lalu masih dikekalkan, Devan optimis kekuatan skuad Hobin Jang Hobin tidak terjejas sepenuhnya bagi memberikan saingan berkualiti kepada pencabar-pencabar lain di Liga Malaysia.

Beliau juga mahu mengkaji sepenuhnya kekuatan pasukan lain sebelum membuat jangkaan sasaran yang boleh dicapai Negeri Sembilan pada musim depan.

“Sekurang-kurangnya 15 pemain daripada musim lalu dikekalkan, hanya 9 sahaja dilepaskan dan buat masa ini, Herold Goulon sahaja yang pasti dikekalkan untuk pemain import.”

“Kami telah tandatangani beberapa orang pemain tempatan yang berkualiti bagi hadapi musim 2023 bagi menggantikan pemain yang tidak lagi bersama pasukan.”

“Mungkin untuk mendapatkan pengganti setanding Syihan, itu sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana dia kini penjaga gol nombor satu negara.”

Ahmad Syihan dikaitkan dengan penghijrahan ke JDT. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

“Namun kami akan cuba mendapatkan penjaga gol yang tidak jauh kualitinya dengan Syihan, begitu juga pengganti Khuzaimi, kami masih dalam proses mencari pemain yang ada kaliber seperti dia.”

“Memang saya jangka penyokong-penyokong akan meletakkan harapan tinggi setelah apa yang kami capai pada musim lalu tetapi perlu diingat pasukan lain turut memperkuatkan cabaran masing-masing dan saya boleh letakkan sasaran selepas melihat senarai pemain yang dimiliki pasukan lain,” katanya.

Khuzaimi secara rasmi telah menyertai Selangor FC sementara Syihan masih belum menyatakan destinasi yang akan dituju pada musim 2023.

Musim lalu, Negeri Sembilan FC meraih perhatian banyak pihak walaupun bergelar pendatang baharu Liga Super apabila menamatkan cabaran di tangga keempat selain mara ke suku akhir TM Piala Malaysia.

Selain itu, Devan turut menarik nafas lega dengan pembentukan Liga Simpanan yang akan mengatasi masalah kekurangan pemain jika sesuatu pasukan itu dihimpit masalah penggantungan atau kecederaan pemain.

“Pemain yang berada di usia 23 tahun sudah berada di tahap kematangan yang sesuai untuk diketengahkan ke dalam pasukan senior jika khidmat mereka diperlukan.”

“Jadi, saya tidak nampak sebarang isu kekurangan pemain walaupun format musim depan berubah dengan adanya 16 pasukan dalam Liga Super yang menjadikan jadual pasti padat.”

“Sekiranya kita berdepan masalah kehilangan pemain yang ramai, pemain-pemain 23 tahun ini boleh membantu pasukan,” tambah K. Devan lagi.