Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor menyifatkan kehadiran 3 pemain import dari Thailand yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini adalah satu petanda baik kepada mutu bola sepak negara.

Sudah lama pemain Thailand tidak mewarnai saingan Liga Malaysia selepas peminat bola sepak tempatan menyaksikan kelibat dua lagenda, Kiatisuk Senamuang dan Piyapong Pue-On pada era 80an.

Walaupun 3 pemain yang menyertai pasukan Liga Super pada ketika ini bukanlah pemain utama skuad kebangsaan Thailand namun kehadiran mereka akan menarik lebih ramai pemain dari negara itu untuk mengintai peluang beraksi di Malaysia disamping meningkatkan publisiti liga.

“Saya difahamkan ada salah seorang pemain merupakan bekas pemain kebangsaan Thailand iaitu Anawin Jujeen yang menyertai PJ City.

“Dua lagi pemain (Narupon Wild – Melaka, Dennis Buschening – Sabah) juga ada reputasi tersendiri di Thailand dan ini membuka ruang kepada publisiti Liga Malaysia.

“Pemain-pemain utama skuad kebangsaan Thailand dan tidak terkecuali Vietnam juga mempunyai permintaan gaji yang tinggi iaitu mencecah RM65,210 (USD15,000) dan situasi ini menyebabkan mereka sukar datang ke sini.

“Namun dengan perkembangan terkini harap akan ada lebih ramai lagi pemain-pemain dari sana berminat untuk berhijrah ke Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di MFL.

Daripada 12 pasukan yang bertanding dalam Liga Super 2020, PDRM FA satu-satunya pasukan yang tidak mempunyai pemain import kuota ASEAN.

Print
Grafik MFL

Abdul Halim turut menjelaskan persamaan budaya dan bahasa menjadi kelebihan mengapa pemain dari Singapura menjadi pilihan kebanyakan pasukan Liga Malaysia untuk mengisi kuota import ASEAN.

Selain itu, faktor sejarah yang terbina antara Malaysia dan Singapura sejak daripada dulu juga menjadi asas corak permainan bola sepak kedua-dua negara tidak jauh berbeza.

“Pemain import dari Singapura mudah menyesuaikan dengan budaya serta bahasa di Malaysia kerana tidak ada banyak perbezaan dengan di sana.

“Ini satu kelebihan ketara jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain import ASEAN lain dan perkara ini turut menjadi salah satu faktor yang dilihat jurulatih atau pengurusan.

“Sejarah bola sepak Singapura banyak juga terbina daripada Malaysia dan ini menjadikan mereka tidak sukar memahami falsafah bola sepak di sini,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia 2020 melalui pautan dibawah.

Ini 4 Bekas Pemain Buriram United Yang Sedang Beraksi Bersama Pasukan Dalam Liga Super Malaysia 2020

Dominique Da Sylva Mahu Kekalkan Status Penjaring Terbanyak Liga Super 2020

MFL Sudah Ada Alternatif Lain Jika Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan