Skuad Malaysia bawah 22 tahun (Malaysia B-22) mendapat sedikit semangat tambahan apabila menerima kehadiran ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersama pembantunya, Pau Marti Vicente di sesi latihan semalam.

Kehadiran mereka adalah untuk membantu memberi tunjuk ajar kepada para pemain menjelang pertemuan hidup mati menentang Vietnam pada pukul 8 malam ini.

Skuad kendalian E. Elavarasan itu memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang mara ke peringkat separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada Thailand kelmarin.

FOTO: FAM

Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan B, Vietnam berada di tangga kedua dan terikat 6 mata dengan Thailand. Baki dua perlawanan terakhir bakal jadi penentu dua pasukan teratas kumpulan bagi merebut slot separuh akhir.

Namun, kelebihan akan memihak kepada Malaysia jika skuad negara berjaya menewaskan Vietnam dan wajib mengutip 3 mata dalam perlawanan terakhir menentang Singapura pada 11 Mei ini.

Bagaimanapun, berdepan Vietnam bukan satu tugas mudah buat skuad negara berdasarkan reputasi skuad Golden Star Warriors yang hadir selaku juara bertahan.

Kapten pasukan, Azam Azmi Murad mengakui pasukannya mendapat pengajaran berguna ketika menentang Thailand dan mahu menjadikan kekalahan itu sebagai semangat untuk bangkit semula.

“Bagi saya semua (aspek) perlu tingkatkan. Kami kalah dengan Thailand, jadi bagi saya tiada pilihan lain lagi dan kami kena menang lawan Vietnam dan juga Singapura.

“Kami tahu Vietnam pasukan kuat, kami harus lebih fokus kerana jika hilang tumpuan kami akan dihukum. Itu antara perkara yang kami perlu perbaiki,” katanya dalam berita harian.

Sementara itu, Elavarasan yakin anak buahnya akan bangkit pamer aksi lebih baik sambil menganggap Vietnam juga perlu menang ke atas Malaysia.

“Bagi Vietnam, ia perlawanan yang penting juga sebab perlawanan terkahir mereka akan berdepan dengan Thailand. Jadi (berdepan Malaysia) akan jadi perlawanan penentu untuk mereka.

“Perlawanan itu (menentang Vietnam) juga penting buat kami, saya fikir kami masih optimis dan akan bangkit,” katanya.