Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC terus menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super musim ini apabila mereka tewas di tangan pasukan PKNP FC dengan keputusan 2-1 minggu lalu.

Sebelum saingan Liga Super bermula, TFC dicanang sebagai pasukan yang akan memberikan cabaran kepada pasukan besar yang lain seperti Johor Darul Ta’zim dan juga Pahang bagi merebut kejuaraan liga. Namun, jangkaan tersebut dilihat tersasar apabila pasukan bimbingan Irfan Bakti ini gagal untuk tampil secara konsisten.

Kekalahan di tangan PKNP FC nyata mengejutkan ramai pihak kerana TFC dijangka tidak berdepan amsalah untuk kembali mencatat tiga mata setelah tewas di tangan Selangor pada perlawanan sebelumnya. Akan tetapi, PKNP tampil lebih garang dan berjaya mencatat kemenangan di kandang lawan. Giancarlo menjadi wira pasukan apabila menjaringkan dua gol.

Prestasi tidak menentu yang ditampilkan oleh TFC ini nyata membangkitkan persoalan di kalangan peminat setia Terengganu FC sama ada ketua jurulatih, Irfan Bakti masih lagi individu yang tepat untuk mengendalikan pasukan.

Jika Terengganu gagal untuk menunjukkan kebangkitan pada perlawanan Liga Super seterusnya, tidak mustahil pengurusan pasukan akan mengambil tindakan ke atas Irfan Bakti dengan merehatkan atau menggantikan beliau dengan ketua jurulatih yang lain.

Selain Irfan, pemain import pasukan turut berdepan risiko untuk digantikan pada jendela perpindahan kedua jika masih gagal untuk menampilkan kualiti sebenar mereka. Pemain seperti Kipre Tchetche dan Sanjar Shaakhmedov masih lagi tercari-cari rentak sebenar setakat ini.