Hasrat Terengganu FC (TFC) beraksi di pentas Asia akhirnya jadi kenyataan selepas mempamerkan aksi mantap menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 3-1 di Stadium Darul Aman hari ini.

Kemenangan itu bermakna mereka dapat slot automatik ke Piala AFC 2023 selaku naib juara Liga Super 2022 selepas mengutip 44 mata dalam 22 perlawanan mengatasi dua pencabar terdekat, Sabah dan Negeri Sembilan.

Dalam perlawanan itu, pasukan kendalian Nafuzi Zain terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 4 menerusi Faisal Halim yang menolak masuk menewaskan penjaga gol KDA FC,  Ilham Amirullah.

Kedah cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun jentera tengah mereka gagal berfungsi dengan baik sekaligus membuka ruang kepada Terengganu untuk terus melancarkan serangan bertali arus.

Pada minit ke 16, penyerang import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche menambah derita Kedah apabila menjaringkan gol kedua menerusi rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti selepas menerima hantara daripada Manuel Ott.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Ketika ini slot Piala AFC masih memihak kepada Terengganu kerana Sabah ketinggalan 2 gol menentang JDT manakala Negeri Sembilan ketinggalan 1-0 dalam perlawanan menentang Sri Pahang.

Memasuki babak kedua, Kedah bangkit dengan lebih garang namun masih tak mampu menembusi benteng pertahanan Terengganu yang beraksi cukup cemerlang.

Bagaimanapun, Terengganu terus menambah gol ketiga menerusi serangan balas yang disudahkan oleh rembatan Kipre Tchetche pada minit ke 74. Ini adalah jaringan ke 13 beliau pada musim ini.

Namun begitu, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Kedah untuk mencuri sekurang-kurangnya satu gol menerusi Dechi N’Guessan pada minit ke 88.

Kebangkitan Kedah sudah terlambat kerana perlawanan hanya berbaki 2 minit sahaja sekaligus mengesahkan kemenangan 3-1 berpihak kepada Terengganu.