Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pemain pertahanan import mereka, Shane Lowry terpaksa berehat panjang akibat kecederaan patah siku ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) semalam.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers, pemain dari Australia itu dijadualkan menjalani pembedahan hari ini dan bakal terlepas aksi Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur pada har jumaat (7 Oktober 2022).

“Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim mendoakan Shane Lowry agar segera sembuh ekoran patah siku akibat perlanggaran pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman malam tadi.

“Beliau akan menjalani pembedahan di Johor Bahru hari ini. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda, Shane. Semoga lekas sembuh!,” tulis kenyataan JST.

Bagaimanapun, ketiadaan Lowry tidak menjejaskan barisan pertahanan JDT kerana mereka masih mempunyai beberapa pemain berkualiti di posisi itu seperti Jordi Amat, Carli De Murga dan Shahrul Saad.

Lowry yang menyertai JDT sejak musim lalu berjaya membantu Harimau Selatan mencatat kemenangan 3-1 ke atas KDA FC  walaupun hanya sempat bermain selama 80 minit sebelum ditukarkan dengan Aidil Zafuan.

Biarpun beraksi dengan 10 orang pemain, ia tidak menghalang JDT untuk mempamerkan corak permainan yang lebih kemas di separuh masa kedua.  Hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun JDT  lebih berpengalaman dan beraksi cemerlang mengekang kemaraan jentera serangan tuan rumah.

Kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan Kedah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Harimau Selatan menambah gol ketiga menerusi rembatan Afiq Fazail selepas menerima hantaran daripada Arif Aiman.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 19 perlawanan setakat ini.