Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim selepas pasukan itu berjaya menewaskan Kedah Darul Aman dalam aksi Liga Super 2022 semalam.

JDT berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kedah meskipun beraksi dengan 10 pemain sepanjang separuh masa kedua selepas Bergson Da Silva dibuang padang.

Melalui laman media sosial Facebook beliau, Sanusi mengucapkan tahniah kepada JDT dan juga kepada pemain Kedah kerana telah menampilkan prestasi terbaik sepanjang perlawanan.

“Tahniah JDT yang menang menentang Kedah malam ini (semalam). Tahniah juga kepada pemain dan penyokong KDA yang telah memberi komitmen terbaik. Kalah takpa jangan koyak.

“Lepas perangkat offsaid dan dapat penalti dalam bola sepak memang ada jual di kedai tepi jalan di Kelana Jaya,” kata Sanusi Md Nor.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 11 menerusi larian solo Roland Ngah yang gagal dihalang oleh barisan pertahanan JDT.

Pada minit ke 36, Bergson akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila merembat masuk hantaran cantik Afiq Fazail dari tengah. Gol ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warga maya kerana dikatakan berada kedudukan ‘offside’.

10 minit kemudian, berlaku sedikit kekecohan dalam padang apabila Bergson dilayangkan kad merah selepas didapati menumbuk tengkuk pemain pertahanan Kedah, Rodney Celvin. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

JDT berjaya memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez. Kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan Kedah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Harimau Selatan menambah gol ketiga menerusi rembatan Afiq Fazail selepas menerima hantaran daripada Arif Aiman.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan JDT kekal berada di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 19 perlawanan setakat ini.

Kekalahan ini juga telah menutup peluang Kedah untuk memburu tiket ke Piala AFC musim depan dengan memburu sekurang-kurangnya tempat ketiga Liga Super.