Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Johor Darul Ta’zim (JDT) turun ke Stadium Darul Aman selaku juara Liga Super buat kali kesembilan musim ini. Namun, mereka dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan 10 orang pemain.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan ini, Harimau Selatan turun tanpa kelibat tonggak import, Fernando Forestieri dan mengekalkan barisan yang sama ketika menentang Negeri Sembilan pada hari sabtu lepas.

Bagaimanapun, Kedah terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 11 menerusi larian solo Roland Ngah yang gagal dihalang oleh barisan pertahanan JDT.

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT bangkit mengatur gerakan dan memperolehi beberapa peluang terhidang namun gagal disudahkan oleh Bergson da Silva.

Pada minit ke 36, Bergson akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila merembat masuk hantaran cantik Afiq Fazail dari tengah. Gol ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warga maya kerana dikatakan berada kedudukan ‘offside’.

10 minit kemudian, berlaku sedikit kekecohan dalam padang apabila Bergson dilayangkan kad merah selepas didapati menumbuk tengkuk pemain pertahanan Kedah, Rodney Celvin. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Biarpun beraksi dengan 10 orang pemain, ia tidak menghalang JDT untuk mempamerkan corak permainan yang lebih kemas di separuh masa kedua.  Hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun JDT  lebih berpengalaman dan beraksi cemerlang mengekang kemaraan jentera serangan tuan rumah.

Kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan Kedah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Harimau Selatan menambah gol ketiga menerusi rembatan Afiq Fazail selepas menerima hantaran daripada Arif Aiman.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 19 perlawanan setakat ini.

Kekalahan ini juga telah menutup peluang Kedah untuk memburu tiket ke Piala AFC musim depan dengan memburu sekurang-kurangnya tempat ketiga Liga Super.