Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Tanggal 1 Disember 2021 nyata menjadi hari cukup perit untuk ditelan oleh para penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) apabila kelab tersebut mengumumkan barisan pemain yang tidak akan bersama pasukan bagi menghadapi kempen 2022.

Seperti yang dilaporkan sebentar tadi, Baddrol Bakhtiar akhirnya mengucapkan selamat tinggal buat Kedah selepas 16 tahun apabila beliau sah diumumkan sebagai pemain baharu Sabah.

Kekecewaan kehilangan sosok tubuh yang digelar legenda dalam kalangan penyokong Kedah itu berterusan apabila tonggak pertahanan, Rizal Ghazali juga memilih untuk mengubah haluan berbeza dan dikhabarkan beliau akan menyertai Baddrol di Sabah.

Menyertai Kedah pada musim 2014, Rizal membuktikan kewibawaannya dalam menjadi antara tunjang di jentera pertahanan sehingga berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Piala Malaysia 2016 serta Piala FA 2017 dan 2019.

“Sumbangan tenaga beliau sepanjang perlawanan tidak perlu dipertikaikan lagi, antara pemain urat besi dan tidak mudah ditewaskan. Apapun keputusan beliau [Rizal Ghazali], KDA FC akan terus menyokong kerjaya bolasepak mereka bersama pasukan baharu!” menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut.

Selain dua pemain yang nyata memberikan sumbangan cukup bermakna buat pasukan itu, Kedah juga terpaksa melupakan khidmat pemain pinjaman, Rodney Celvin Akwensivie.

Rodney yang membentuk gandingan mantap bersama Renan Alves akan kembali ke pangkuan Selangor pada musim hadapan.

Empat lagi pemain musim ini yang tidak akan bersama pasukan ialah Mohd Fairuz Zakaria, Muhammad Faizat Ghazli, Mohd Fandi Othman dan Tam Sheang Tsung.

Ketiadaan beberapa tonggak ini nyata sedikit meresahkan para penyokong Kedah dalam persiapan kelab tersebut untuk menghadapi kempen Piala AFC dan Liga Malaysia 2022.

Namun, sudah pasti perancangan rapi bakal dijelmakan oleh pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak dalam mengisi kekosongan ditinggalkan pemain-pemain tersebut.

Kedah sebelum ini mengumumkan tidak akan memperbaharui kontrak bagi tiga pemain import, Renan Da Silva Alves (Brazil), Rabih Ataya (Lubnan) dan Anumanthan Mohan Kumar (Singapura).

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

RASMI: Baddrol Bakhtiar Diumumkan Pemain Baharu Sabah

KL City Tak Hirau Reputasi Hebat JDT, Julang Piala Malaysia 2021

Baddrol Bakhtiar: Tak Mustahil Malaysia Mampu Layak Ke Final Piala AFF

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group