Pasukan Kedah akan menurunkan kesebelasan utama terbaik pada perlawanan menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada esok sekaligus mengekalkan kedudukan di tangga ketiga dalam carta Liga Super musim ini.

Perkara itu disuarakan oleh ketua jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak dimana beliau turut menegaskan perlawanan menentang Felda akan dijadikan sebagai medan pemanas badan menjelang perlawanan akhir Piala FA bertemu Perak pada 27 Julai ini.

Aidil Sharin
Sumber Gambar: Kedah FA

“Saya tidak merancang menurunkan skuad kedua, malah saya mahu barisan terbaik untuk aksi penting di Jengka bagi mengutip tiga mata dan menamatkan kedudukan di tempat ketiga.

“Tambahan lagi saya tidak mahu menghampakan penyokong yang bersusah payah datang memberi sokongan dari jauh tanpa menyaksikan aksi terbaik Kedah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pada masa yang sama, bekas pengendali Home United itu memberitahu Kedah akan kehilangan khidmat Shakir Hamzah setelah pemain itu menjalani penggantungan perlawanan.

Shakir Hamzah
Sumber Gambar: Kedah FA

“Ketiadaan Shakir akan memberi kesan namun saya yakin gandingan pemain yang akan dipilih juga mampu memberi persefahaman yang baik dengan barisan sedia ada,” tambahnya.

Jika berjaya meraih kemenangan, maka Kedah akan menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga. Bagi lawan mereka pula, jika Felda menewaskan Kedah, maka mereka mempunyai peluang untuk kekal dalam saingan Liga musim hadapan jika PKNP FC dan Kuala Lumpur gagal mengutip tiga mata.