Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim disahkan mengalami kecederaan di bahagian bahu dan bakal terlepas aksi bertemu Sabah dalam saingan CIMB Liga Super sabtu ini.

Beliau mengakui tidak boleh angkat tangan sewaktu terlanggar tiang ketika melayangkan badan untuk menyelamatkan tandukan pemain Felda United, Syahmi Zamri di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada minggu lepas.

Bagaimanapun, menurut kenyataannya dalam MFL, doktor mengesahkan tiada kecederaan yang serius sehingga patah dan hanya terkehel di bahagian bahu.

“Sekarang ini saya sudah beransur pulih, cuma masih rasa sakit lagi dan tidak kuat lagi untuk beraksi.

“Masa mula-mula kena, saya langsung tidak boleh nak angkat kedua-dua tangan ini, tapi selepas dua hari, baru boleh angkat perlahan-lahan.

“Kadang-kadang nak pakai baju sendiri pun susah, cuma saya tetap bersyukur tiada apa yang patah, cuma terkehel sahaja dan perlukan rehat.

“Doktor cakap tidak akan ambil tempoh masa yang lama untuk betul-betul sihat, cuma rasanya untuk aksi berdepan Sabah, saya perlu direhatkan terlebih dahulu”, jelasnya.

Ifwat Akmal
Sumber Gambar: FA Kedah

Kedah ketika ini masih lagi konsisten dengan tiga kemenangan berturut-turut sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu.

Kemenangan 2-1 ke atas Felda United FC sekali gus meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini di kedudukan kedua liga dengan 13 mata setakat ini.

Dengan ketiadaan Ifwat ketika ini, Aidil nampaknya perlu melakukan perubahan dan mungkin penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari akan diturunkan sebagai penjaga gol utama berdepan Sabah.

Berbaki 4 sahaja lagi perlawanan, Ifwat sudah pasti mengharapkan dia mampu untuk kembali beraksi penuh sebelum liga berakhir pada Oktober depan.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

CIMB Liga Super: Kedah Rampas Kedudukan Kedua Daripada Perak

Nafuzi Zain Jelaskan Punca Ketiadaan Faris Ramli Dalam Senarai Skuad Terengganu Berdepan JDT

Sultan Selangor Beli Kasut Emas Khalid Jamlus, Bakal Dipamerkan Di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor