Pasukan Kedah berjaya memenangi kejuaraan Piala FA buat kali kelima setelah mereka menewaskan pasukan Perak dengan keputusan 1-0 pada perlawanan akhir yang dilangsungkan sebentar tadi.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil,  kedua-dua pasukan melancarkan gerakan serangan sejak minit awal permainan. Kedah mempunyai peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan Jonathan Bauman namun percubaan beliau sedikit tersasar.

Penyerang Perak, Ronaldo kemudiannya membuat percubaan dua minit kemudian namun penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal berjaya menepis percubaan beliau. Percubaan demi percubaan dilancarkan oleh pemain kedua-dua pasukan namun penyudah akhir nyata mengecewakan mereka.

Detik cemas berlaku pada minit ke-42 apabila penyerang Kedah, Fernando Rodriguez mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk. Namun, pasukan perubatan berjaya mengawal keadaan sekaligus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan tanpa sebarang jaringan.

Memasuki separuh masa kedua, percubaan bertali arus dilancarkan oleh barisan serangan kedua-dua pasukan namun jaringan masih gagal untuk dijelmakan. Sepakan percuma Baddrol Bakhtiar tersasar manakala rembatab Leandro Dos Santos sedikit tersasar.

Pada minit ke-70, Ronaldo mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol pertama namun rembatan beliau berjaya di halang oleh benteng pertahanan Kedah.

Pada minit-minit terakhir separuh masa kedua, Perak terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Amirul Azhan Aznan dilayangkan kad merah. Kedudukan masih terikat dan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin memasukkan pemain muda, Fazrul Danel dan percaturan beliau nyata berjaya apabila Fazrul menjaringkan gol kemenangan sekaligus memberikan trofi Piala FA 2019 kepada pasukan Kedah.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Kedah di atas kejuaraan kali kelima dalam sejarah saingan Piala FA.