Pagi tadi pengurusan pasukan Kedah telah mengadakan mesyuarat, telah mencapai beberapa keputusan mengenai barisan pengurusan baru pasukan serta isu mengenai kewangan serta gaji pemain pasukan.

Berikut adalah beberapa keputusan berkaitan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut.

STATUS TUNGGAKAN GAJI PASUKAN LIGA SUPER KEDAH

Mesyuarat mengambil maklum mengenai tunggakan bayaran gaji pasukan serta caruman dan bayaran lain sehingga ke tarikh hari ini. Pihak pengurusan komited dan akan melunaskan tunggakan gaji secara berperingkat seperti berikut:

Tunggakan bagi bulan Mac 2020 akan diselesaikan sebelum 15 Ogos 2020;
Tunggakan bulan April, Mei, Jun dan Julai 2020 akan dimaklumkan penyelesaian setelah rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat.

Satu Jawatankuasa Khas Kewangan mengenai penyelesaian tunggakan 4 bulan tersebut akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini.

Mesyuarat juga bersetuju mengekalkan pengurusan pasukan Liga Super Kedah sehingga tamat musim Liga Malaysia 2020 dan jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula. Ketika ini pasukan terdiri dari 48 individu di kalangan pemain dan pegawai dalam pasukan yang dirumuskan akan menjurus peningkatan bajet pasukan.

STATUS KEWANGAN DAN PENAJAAN PERSATUAN

Mesyuarat memutuskan untuk memperkemaskan kedudukan kewangan dengan memperkukuhkan penajaan dengan mengemaskini status penajaan dengan penaja-penaja KFA musim 2020 yang sudah memberi komitmen musim ini.

Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditubuhkan akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu dengan berunding segera dengan bakal penaja baru.

Semua fungsi ahli Jawatankasa Eksekutif diberi peranan lebih besar untuk memikul tanggungjawab mengurus dan meneroka kaedah membawa penajaan baharu.
KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim 2020.

Punca masalah dana penajaan tertunggak adalah perlaksanaan tanggungjawab secara ’one man show’ dalam penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan.

Tindakan drastik penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan adalah bagi mengatasi beban hutang sejak September 2019.

Jumlah tunggakan KWSP dan LHDN setakat ini adalah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera.

PERSEDIAAN PASUKAN SEBELUM BERSAMBUNG PERLAWANAN LIGA SUPER 2020

Mesyuarat meluluskan perancangan pasukan Liga Super Kedah untuk mengadakan 4 perlawanan persahabatan menjelang bersambung kembali Liga Super 2020 pada 27 Ogos ini.

Perlawanan akan berlangsung di Selangor, Perak dan Alor Setar pada 8 hingga 15 Ogos sebagai medan persiapan pasukan.

Bagi memantapkan pengurusan pasukan, mesyuarat menyusun semua struktur Jawatankuasa Tetap dalam pentadbiran Jawatankuasa Eksekutif KFA dan memutuskan TUAN HAJI MUHAMMAD RADHI BIN MAT DIN dilantik sebagai Pengerusi Pengurusan Pasukan.

Sasaran persatuan adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik Liga Super 2020 dengan 11 perlawanan maksimum atau 8 perlawanan minimum (tertakluk kepada layak ke peringkat seterusnya dalam Piala Malaysia).

STATUS PERLESENAN KELAB FAM & AFC

Bagi musim 2020, proses permohonan perlesenan kelab KFA berjalan dengan teratur dan sudah memenuhi 81% dari semua kriteria.

Baki 19% proses perlesenan kelab akan dilengkapkan menjelang tarikh akhir pada 31 Ogos depan.

STATUS PERSATUAN BOLASEPAK (FA) KE KELAB BOLASEPAK (FC)

Satu Jawatankuasa Khas mengenai peralihan kelab dari FA ke FC dibentuk untuk memastikan proses peralihan ini mengikut kaedah yang teratur menurut garis masa yang ditetapkan oleh FAM.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Bapa Wan Kuzain Luah Hasrat Mahu Beli Pasukan Kelantan, Ini Sebab Mengapa Beliau Berminat.

Kaki Jersi Hasilkan Jersi Rekaan Khas ‘Socia Football Photograph x KJ’ Untuk Hargai Jasa Jurugambar Liga Sosial

Kelantan Dipotong 3 Mata, Berdepan Risiko Tidak Diberikan Lesen Kelab Musim 2021