Baru-baru ini, terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan naib juara Liga Super 2020, Kedah sedang mencari seorang pemain import dari Indonesia bagi menggantikan tempat Amin Nazari yang tidak disambung kontrak.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu akan beraksi dalam saingan AFC Cup musim depan. Justeru itu, mereka memerlukan pemain import yang berpengalaman untuk memperkuatkan jentera serangan berdepan pasukan terbaik di Asia.

Salah seorang pemain dari Indonesia yang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kedah ialah pemain tengah Bali United iaitu Stefano Lilipaly.

Bagaimanapun, menurut laporan Kosmo, sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mendedahkan pasukan itu tidak berhasrat untuk mendapatkan khidmat Lilipaly dan sememangnya tiada dalam perancangan jurulatih untuk musim depan.

Hanya bekas pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon yang hampir pasti menyertai pasukan itu untuk memperkuatkan jentera serangan.

“Memang nama Lilipaly hangat disebut-sebut di media sosial ketika ini, namun setakat ini pemain berusia 30 tahun itu tidak ada dalam perancangan pasukan untuk musim depan.

“Begitu pun cakap-cakap yang mengaitkan Syazwan Zainon dengan Kedah memang betul. Kehadiran Syazwan dilihat mampu memperkukuhkan pasukan pada musim depan,” katanya.

Stefano Lilipaly Indonesia
Stefano Lilipaly. Sumber Gambar: Kompas Bola

Lilipaly merupakan pemain berdarah campuran belanda dan tonggak utama skuad kebangsaan Indonesia. Beliau pernah beraksi di AFC Cup pada tahun 2018 dengan skuad Bali United dan dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan Kedah.

Namun, pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak pasti mempunyai perancangan lain untuk mencari pemain dari Asia Tenggara yang lebih berkualiti. Antara nama lain yang turut dikaitkan dengan skuad helang merah itu ialah bintang sayap Persija Jakarta, Riko Simanjuntak.

Untuk rekod, Kedah sebelum ini pernah diperkuatkan oleh pemain dari Indonesia iaitu Andik Vermansyah pada musim 2018.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah:

Dr. Johan Kamal Hamidon Dipilih Sebagai CEO Selangor FC

RASMI: Irfan Bakti Sah Jurulatih Baharu Kuching City

Yusri Che Lah Terima Tawaran Bimbing Skuad Pelapis Ala Harimau Muda

Media Sepanyol Ini Dedahkan Kelab Dari Malaysia Buru Khidmat Diego Rolan