Kejayaan menjuarai saingan Piala FA Sabtu lepas memastikan skuad Helang Merah mendapatkan satu tiket beraksi di saingan kelayakan pusingan kedua AFC Champions League (ACL) pada musim depan.

Justeru itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mahu pasukan itu dilabelkan sebagai jaguh kampung semata-mata sebaliknya perlu mula membuat persiapan rapi untuk beraksi dalam saingan kelab kelas tertinggi Asia.

“Tumpuan kita buat masa ini Piala Malaysia, tetapi kita juga perlu berhadapan kelayakan ACL, jadi kita tidak mahu sekadar jaguh kampung. Tunjukkan prestasi permainan hebat di mana-mana peringkat sekalipun.

“Apatah lagi dalam kejohanan itu ada pasukan yang sudah mencapai tahap antarabangsa, kita perlu bekerja lebih keras dalam ACL,” katanya seperti dipetik dalam Utusan Malaysia. 

FB_IMG_1564333531271

Dalam saingan kelayakan, Kedah akan jumpa juara Liga Hong Kong, Tai Po FC di Stadium Darul Aman. Jika menang, mereka dijangka akan bertemu kelab dari Korea Selatan di pusingan play-off AFC Champions League iaitu FC Seoul atau Gangwon FC di tempat lawan.

Bagaimanapun, Mukhriz memberi kebebasan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk memilih pemain import yang lebih berkualiti untuk membentuk skuad yang lebih mantap pada musim depan. 

“Kita tak mahu campur tangan sampai tahap dia tidak mampu membuat apa-apa keputusan, sebaliknya KFA menyerahkan tanggungjawab itu kepada beliau. Kalau Aidil Sharin merasakan prestasi pemain ada yang tidak konsisten dan ingin membuat perubahan, beliau cuma perlu kemukakan cadangan kepada kami yang biasanya akan diluluskan,” ujarnya.

taipobannerNEW-2
Tai Po FC bakal menjadi lawan Kedah di pusingan kelayakan ACL 2020.

Sementara itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menyifatkan kejuaraan Piala FA tersebut merupakan sebagai hadiah istimewa buat Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan pihak pengurusan yang banyak memberikan sokongan.

“Tidak ketinggalan, kemenangan itu juga merupakan hadiah kepada pengurusan dan penyokong Hijau Kuning atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Lang Merah.

“Kami berharap penyokong Lang Merah terus memberi sokongan padu kepada pasukan dan sentiasa berfikiran positif untuk Kedah,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong Kedah pada majlis perarakan dan sambutan kemenangan Piala FA di Dataran Wisma Darul Aman hari ini.