Pasukan Kedah Darul Aman bakal menjalani latihan pra musim di Eropah sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut perkongsian Asean Football, Kedah bakal mengadakan latihan pra musim di Turki selama seminggu dimana mereka akan turun menentang beberapa kelab dari Turki dan juga Uzbekistan.

Baru-baru ini, skuad bimbingan Nafuzi Zain itu berjaya menewaskan TRW Kelantan dengan keputusan 2-0 dalam satu aksi persahabatan di Stadium Darul Aman.

Dua jaringan penyerang import baharu iaitu Willian Lira berjaya memberikan kemenangan kedua kepada Kedah dalam aksi pra musim setakat ini.

Selepas perlawanan, Nafuzi menegaskan beliau mahu lebih banyak jaringan dihasilkan oleh Lira kerana pasuka itu sudah lama ketandusan penyerang yang mampu menjaringkan banyak gol.

“Tugas seorang penyerang ialah menjaringkan gol dan itu apa yang dilakukan oleh Lira. Ini merupakan petanda positif bagi beliau dan juga pasukan.

“Kami sudah menjalani latihan dalam tempoh masa 10 hari dan saya berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain. Mereka cuba memberikan yang terbaik namun saya perlu membuat penilaian.

“Pemain nampak gugup apabila beraksi dalam stadium yang dipenuhi oleh peminat meskipun aksi tersebut ialah perlawanan persahabatan. Kami akan tampil lebih baik selepas ini,” kata Nafuzi Zain.

Bagi menghadapi saingan musim 2023, Kedah Darul Aman telah mendapatkan khidmat beberapa pemain yang mempunyai pengalaman dalam saingan Liga Super seperti Manuel Ott, Manuel Hidalgo serta pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck.

Dari segi pemain import pula, selain Lira kedah turut membawa masuk pemain seperti Bojan Ciger, Amirbek Juraboev dan Alan Robertson.