Tugas sukar sedang menanti juara bertahan Piala FA 2019, Kedah apabila diundi bertemu naib juara Liga Super 2019, Pahang pada Majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA di Kota Damansara, sebentar tadi.

Ia juga adalah ulangan perlawanan epik separuh akhir Piala Malaysia musim lepas apabila kedua-dua pasukan bertarung sehingga masa tambahan yang berakhir dengan rekod jaringan 16 gol secara aggregat iaitu 3-3 di Alor Star dan 5-5 di Kuantan.

Saingan Piala FA 2020 menyaksikan 39 kelab amatur bersaing pada pusingan awal. Sebaik sahaja perlawanan play-off dan perlawanan pusingan pertama berakhir, 12 kelab amatur akan meneruskan perjuangan mereka menentang 20 pasukan CIMB Liga Super dan Liga Perdana di pusingan kedua.

Pusingan kedua Piala FA 2020 akan dijalankan secara kalah mati dan dijangka bermula pada bulan Mac depan. Bagaimanapun, jadual rasmi perlawanan akan dikeluarkan dalam masa terdekat oleh pihak MFL.

Pusingan Kedua
Undian penuh pusingan kedua Piala FA 2020. Sumber Gambar: MFL

Pada musim ini, Shopee terus menghangatkan Liga Malaysia setelah memperbaharui kerjasamanya bersama Malaysian Football League (MFL) untuk menjadi Pasaran Atas Talian Eksklusif Rasmi buat tahun ketiga.

Shopee bukan nama asing bagi rakyat Malaysia; platform e-dagang tersebut menawarkan pengalaman membeli-belah atas talian yang mudah, selamat dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta orang setiap hari. Kerjasamanya bersama MFL, sejak tahun 2018, merangkumi Shopee sebagai penaja kejohanan untuk Piala FA.

Penajaan itu menandakan komitmen Shopee untuk membantu dan memberikan sokongan padu kepada pembangunan bola sepak, sukan nombor satu di negara ini yang menyatukan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.

Penyertaan semula ke dalam arena bola sepak sebagai penaja besar menandakan niat yang jelas daripada Shopee dalam menyokong dan menaik taraf bola sepak tempatan, terutama melalui perkembangan peringkat akar umbi.

photo_2020-02-24_15-19-27
FOTO: VocketFC

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau, Shopee berkata, “Pembangunan sukan adalah komitmen jangka panjang, tetapi ia adalah satu komitmen yang kami sedia galas kerana kami tahu bahawa perubahan tidak boleh berlaku semalaman.

“Perjalanan kami bermula dengan Shopee memudahkan para peminat dalam kalangan rakyat Malaysia menghadiri perlawanan yang mereka inginkan dengan menjual tiket di platform kami.

“Selain daripada mendekati peminat bola sepak dan kelab yang sedia ada, kami bertanya kepada diri sendiri bagaimana kami boleh membantu MFL menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyokong bola sepak tempatan tanpa mengira sama ada mereka peminat sebuah kelab. Kami tahu bahawa jawapannya terletak dalam kemudahan dan eksklusiviti.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini, kami kini memperkenalkan manfaat baharu bagi mereka yang membeli tiket di Shopee. Kemudahan- kemudahan eksklusif termasuk Laluan Tetamu Khas (Special Guest Lane) dan kawasan tempat duduk yang khusus untuk Shopee,” katanya.

Baca artikel sebelum ini mengenai perlawanan epik di antara Pahang menentang Kedah pada musim lepas.

Perlawanan Gila Di Stadium Darul Makmur, Kedah Jumpa JDT Di Final Piala Malaysia 2019