Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim dikhabarkan mengadakan rundingan bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menyertai pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2019 yang sedang dibuka ketika ini.

Khabar angin bertiup kencang dimana Safiq yang beraksi bersama Melaka United setelah dilepaskan oleh Johor Darul Ta’zim akan merealisasikan perpindahan beliau dalam masa terdekat dan segera beraksi bersama pasukan dalam perlawanan Liga Super.

safiq rahim
Sumber Gambar: JST

Faktor utama mengapa Safiq mahu berhijrah dengan menyertai pasukan Kedah masih lagi belum dikenal pasti. Namun, ramai berpendapat ianya kerana masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) sejak awal saingan musim ini.

Melaka United sudah beberapa kali berdepan dengan isu tunggakan gaji sehingga menyebabkan prestasi pasukan terutamanya dalam saingan Liga Super musim ini terjejas. Selain itu, pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan ini turut terkeluar dari saingan Piala FA dimana mereka tewas kepada PKNS FC dengan keputusan 3-2 pada perlawanan peringkat kedua.

Setakat ini, Melaka telah kehilangan tiga pemain import iaitu Liridon Krasniqi, Darko Markovic dan Casagrande serta tiga pemain tempatan iaitu R.Gopinathan, Nurshamil Abdul Ghani dan Wan Mohd Syukri. Liridon digantikan dengan Luka Milunovic manakala Casagrande, Wan Syukri, R.Gopinathan dan Nurshamil masing-masing berhijrah dengan menyertai pasukan Pulau Pinang, PDRM FA dan Selangor United secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.