Barcelona berkunjung ke Pamplona untuk berhadapan dengan Osasuna di El Sadar dalam La Liga. Ia sentiasa akan menjadi perlawanan yang sukar – ia tidak pernah mudah untuk pergi ke El Sadar dan sekali lagi terbukti memang sukar buat Barca.

Lebih lebih lagi Barcelona berdepan dengan krisis kecederaan dan terpaksa menggunakan ramai pemain muda dalam perlawanan ini.

Pertemuan yang mendebarkan dan penuh dramatik berakhir dengan kedudukan 2-2.

Barcelona mendahului pada minit ke-12, dengan dua prospek paling cerah di kelab itu bergabung untuk memberikan impak luar biasa.

Gavi telah berjaya mendapatkan Nico di dalam kawasan penalti dengan hantaran tajam dan pemain Galicia itu menyudahkan bola dengan tenang untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Hanya dua minit kemudian, Osasuna berjaya menyamakan kedudukan. David Garcia menjaringkan gol menerusi tandukan hasil umpanan daripada bola mati.

Barcelona kemudiannya kembali mendahului pada minit ke-49 menerusi Ez Abde, pemain paling berbahaya mereka.

Bagaimanapun, Chimy Avila menyamakan kedudukan untuk Osasuna pada minit ke-87 – tiga minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat.

Keputusan itu benar benar menyentap Barcelona yang sangat terdesak mahukan kemenangan.

Selepas tamat perlawanan, Xavi mengakui bahawa pasukannya kini sedang dijangkiti virus negatif di dalam pasukannya selepas keciciran mata sekali lagi.

Sebelum ini Barca kalah kepada Real Betis dalam saingan La Liga dan kemudian dimalukan Bayern Munich dalam aksi UCL.

Kekalahan ini menyaksikan Barcelona berada di tannga kelapan dengan 15 mata di belakang Real Madrid.

Barca masih jauh daripada kelompok 4 teratas dalam carta liga. Xavi sebelum ini pernah menyatakan bahawa Barcelona bukan pasukan yang patut bermain di Europa League,

Namun dalam keadaan semasa ini, mereka sedang bertarung untuk slo UEL sekalipun.

Xavi menegaskan bahawa mereka perlu melakukan reset untuk mencipta Barcelona baharu. Namun persembahan mereka menentang Osasuna pada Ahad benar benar mengecewakan.

Di mana mereka berterusan sulit untuk mencipta peluang.

“Kita sekarang ini sedang dalam penyakit negatif dan harus mencari jalan untuk keluar.”

“Keputusan seri ini tidak cukup, kita harus menjaringkan gol kedua dan mengawal perlawanan. Namun kita gagal melakukannya dan membuatkan kita sendiri menderita.”