Folarin Balogun telah menukar kewarganegaraanya untuk mewakili pasukan kebangsaan Amerika Syarikat selepas beterusan disisihkan England.

Balogun sebelum ini sudah memberikan bayangan bahawa dia mungkin akan terpaksa menukar kewarganegaraannya jika Gareth Southgate berterusan tidak memandangnya.

Akhirnya, Folarin Balogun menyelesaikan proses mendaftarkan dirinya sebagai pemain Amerika Syarikat, dan sumber FIFA telah mengesahkan kepada CBS Sports.

Balogun turut mengesahkan tentang pertukaran kerakyatan itu di media sosial miliknya.

Berita mengenai pertukaran rasmi Balogun itu dianggap kerugian buat England dan keuntungan buat Amerika Syarikat.

Selain daripada England, Balogun juga menolak untuk mewakili Nigeria. Ianya satu lagi negara yang boleh diwakili pemain itu.

Walaupun Nigeria memiliki pasukan yang dianggap calon utama untuk menjuarai AFCON akan datang dengan adanya pemain seperti Osimhen.

Penyerang berusia 21 tahun itu, yang dipinjamkan ke kelab Ligue 1, Reims dari Arsenal, dilahirkan oleh ibu bapa berketurunan Nigeria di New York City.

Mereka kemudian berhijrah ke England pada usianya dua tahun. Balogun telah mewakili kedua-dua AS dan England di peringkat remaja, menjaringkan tujuh gol dalam 13 penampilan untuk pasukan Bawah 21 tahun itu.

Jurucakap FIFA memberitahu CBS Sports: “Pertukaran persatuan oleh pemain Folarin Jolaoluwa Balogun dari England ke Amerika Syarikat telah diluluskan.”

Balogun telah muncul sebagai salah seorang penyerang muda paling menonjol musim ini, menjaringkan 19 gol dalam 34 perlawanan untuk Reims.

Dia dijangka dijual oleh Arsenal pada musim panas ini dengan The Gunners meletakkan tanda harga £35 juta untuk graduan akademi mereka.

RB Leipzig adalah calon pendahulu dari kalangan kelab yang berminat mendapatkan khidmat pemain itu selain West Ham.

Balogun kini berada di kedudukan ke-11 dalam lima liga utama Eropah dari segi jaringan, kesembilan dari segi percubaan (dia mendapat satu percubaan lebih sedikit daripada Erling Haaland) dan kedua dalam jangkaan gol (xG).

Segelintir peminat Arsenal turut mempersoalkan kenapa kelab tidak mahu memberikan peluang kepada pemain itu untuk membuktikan kualitinya bersama The Gunners. Kerana dia benar benar cemerlang musim ini.