Perasaan bercampur baur dirasai pengendali Kelab Bolasepak Perak (Perak FC), Chong Yee Fatt apabila skuad bimbingannya mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, malam tadi.

Yee Fatt tanpa berselindung kecewa berikutan kegagalan anak buahnya untuk mengekalkan kelebihan dua gol yang dimiliki tetapi masih mempunyai alasan kukuh untuk lega dengan keputusan tersebut.

Hal ini kerana melihatkan kepada semangat juang barisan pemain Perak menyerap asakan JDT sehingga ke minit terakhir dan keputusan seri untuk berjaya mengelakkan skuad Yob daripada mengalami kekalahan ketiga berturut-turut.

Selain itu, kemampuan Guilherme De Paula dalam meledakkan dua jaringan juga turut mengubati kekecewaan Yee Fat yang melihat gawang Perak bolos pada lewat permainan hasil sepakan penalti Leandro Velazquez.

“Sememangnya kecewa apabila kita tidak dapat tiga mata penuh, tetapi kalau nak ikutkan satu mata pun sudah buat kita gembira, khususnya apabila melihat cara pemain beraksi, mereka memang pamerkan semangat ingin menang yang tinggi.”

“Saya tetap berbangga dengan mereka kerana beberapa perlawanan sebelum ini aksi mereka tidak konsisten dan sebelum aksi semalam, kami ada bercakap dari hati ke hati bagaimana kita tidak boleh lagi tercicir mata dan satu mata ini diharapkan cukup untuk memberi motivasi lagi kepada mereka bagi perlawanan akan datang.

“De Paula juga akhirnya memberi sesuatu kepada pasukan di mana saya ada beritahu dia untuk tidak terus kecewa dengan aksi-aksi terdahulu”

“Dia perlu menikmati setiap perlawanan akan datang dan itu yang dia lakukan untuk kami semalam”, ujar Yee Fat menurut laporan dikeluarkan laman sesawang rasmi Malaysian Football League.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Prestasi Pengadil Liga Malaysia Berada Di Tahap Membimbangkan

TMJ Gesa Saingan Liga Malaysia Gunakan Khidmat VAR

Jaringan Penalti Leandro Velazquez Selamatkan Maruah JDT Di Ipoh