Penjaga gol tinggi lampai Terengganu, Rahadiazli Rahalim terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Sukan SEA 2023 di Kemboja apabila namanya tidak dipilih dalam senarai 20 pemain akhir skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22).

Ini peluang terakhir beliau selepas turut melakukan penampilan bersama pasukan negara pada Sukan SEA 2021 di Vietnam sebelum ini.

Menurut kenyatan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Rahadiazli terpaksa digugurkan kerana ditimpa masalah kecederaan tangan sekaligus memaksa pengendali pasukan, E. Elavarasan melupakan khidmat pemain itu.

Turut digugurkan adalah empat pemain lain iaitu Muhammad Syakimi Karim (Negeri Sembilan FC), Mohammad Zharmien Ashraf Ismail (Kedah Darul Aman FC), Fakrul Fareez Aidi (Selangor FC) dan Muhammad Nadzwin Mohd Salleh (Kuala Lumpur City FC).

Elavarasan hanya menyenaraikan dua penjaga gol ke Sukan SEA 2023 iaitu iaitu Sikh Izhan (Negeri Sembilan FC) dan Azim Al Amin (KL City FC).

Melalui perkongsian di laman instagram Story, Rahadiazli sempat mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sepasukan lain yang akan beraksi di Kemboja nanti.

Beliau turut berkongsi foto x-ray tangannya yang mengalami kecederaan, dengan menulis, “Allah sebaik-baik merancang. Goodluck SEA Game kawan-kawan.”

Skuad negara akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 pada 3 Mei 2023 kemudian menentang Thailand B-22 (6 Mei 2023), Vietnam B-22 (8 Mei 2023) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 pada 11 Mei 2023 di mana kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Prince.

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei 2023 dan aksi final serta penentuan tempat ke-3/4 berlangsung pada 16 Mei 2023.