Penjaga gol Terengganu FC, Muhamad Rahadiazli Rahalim menganggap ini adalah ujian untuknya apabila mengalami kecederaan saat akhir sehingga terpaksa digugurkan daripada temasya Sukan Sea Kemboja dan kini fokus untuk pulih sepenuhnya sebelum Liga Super kembali bersambung.

Pemain berusia 22 tahun ini mengakui dugaan yang sentiasa menimpa dirinya setiap kali dipanggil ke skuad kebangsaan menyaksikan sebelum ini namanya digugurkan daripada Harimau Malaya selepas positif Covid-19 dan kini mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan sekaligus terpaksa melupakan hasrat ke Sukan Sea.

Namun, situasi itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus bekerja keras terutamanya dalam usaha membantu kelab kembali ke kedudukan yang lebih baik di pentas Liga Super.

“Situasi yang macam ini saya dah selalu rasa sejak berumur 19 tahun lagi dan setiap kali ke skuad kebangsaan, mesti ada je yang tak kena.

“Tak kisah benda kecil atau besar, mesti ada sesuatu akan terjadi macam sekarang ini tetapi saya anggap ia sebagai ujian dan saya juga kena sentiasa perbaiki diri saya.

“Memang saya kecewa sebab saya tahu ini adalah Sukan Sea yang terakhir saya dan saya nak perbaiki balik apa yang pernah jadi ketika di Singapura (Piala Merlion) tahun lepas.”

“Tetapi, apabila keputusan X-ray dah keluar, memang saya dah tahu tak dapat untuk ke Sukan Sea dan sekarang saya tidak mahu fikir apa-apa, saya hanya nak cepat pulih sahaja,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rahadiazli menyifatkan kecederaan yang dialaminya itu tidak terlalu serius dan dijangka akan pulih dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu selain positif dapat kembali beraksi dalam kesebelasan utama.

Bahkan, tempoh rehat yang ada ketika ini sebelum sepak mula bersambung pada 19 Mei ini sekurang-kurangnya dapat memberikan lebih masa kepada dirinya untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan yang lebih baik selepas ini.

“Kecederaan saya ini tidaklah teruk sangat cuma sekarang ada rasa tak selesa di bahagian jari dan kecederaan ini tidak akan lama.”

“Yang penting, ia tidak akan makan masa lama untuk pulih sepertimana yang saya pernah kena ACL sebelum ini apabila terpaksa berehat lama.”

“Cuma awal-awal tu doktor cakap ada sedikit retak dan tulang ada sedikit terkehel, tetapi sekarang Alhamdulillah semakin baik,”  tambah Rahadiazli lagi.

Terengganu FC akan berkunjung ke Stadium Likas pada 19 Mei ini untuk aksi Liga Super menentang Sabah FC menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbrückner itu berada di tangga kelapan dengan 13 mata setakat ini.