Malaysian Football League (MFL) menyuarakan kebimbangan apabila terdapat pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 melibatkan pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata pelanggaran pematuhan SOP dalam kalangan penyokong-penyokong bakal memberikan impak buruk kepada aksi final TM Piala Malaysia 2021 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2021 dan juga saingan Liga Malaysia musim depan.

Ini kerana pihak kerajaan yang sentiasa berusaha keras untuk mengawal pergerakan wabak COVID-19 boleh menarik balik syarat kemasukan penonton pada masa yanag akan datang.

“Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam virus COVID-19.

“Jika perkara pelanggaran SOP masih berlaku di masa akan datang, MFL bimbang kemasukan penonton untuk aksi final TM Piala Malaysia dan saingan Liga Malaysia musim depan akan ditarik balik.

“Jadi, saya berharap penyokong-penyokong memiliki sentimen sayangkan bola sepak negara dan sentiasa mengikut peraturan atau pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Sekali lagi saya berharap insiden-insiden yang mengaitkan pelanggaran SOP tidak akan kembali berulang untuk aksi timbal balik kedua TM Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada malam esok,” ujarnya dalam satu kenyataan rasmi.

Stuart turut mengesahkan pihaknya telah menerima kompaun sebanyak RM10,000 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang telah menjalankan siasatan lanjut berkaitan pelanggaran SOP dan mendapati pasukan tuan rumah, TFC telah mengambil langkah antaranya menghadkan bilangan penonton seramai 20,000 orang (42.6 peratus) daripada kapasiti sebenar venue sebanyak 47,500 orang.

Bagaimanapun JKNT mendapati TFC selaku penganjur telah gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton terutama berkaitan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna ketika kejohanan yang menyaksikan TFC seri 1-1 bertemu JDT pada aksi timbal balik pertama.

“MFL telah menerima kunjungan daripada wakil-wakil KKM pada hari ini dan mereka telah menjelaskan situasi berdasarkan siasatan mereka berkenaan perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 di antara pasukan TFC dan JDT.

“Satu notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd dan MFL masing-masing dengan nilai RM10,000.

“MFL dan Rakan Kongsi Liga akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada KKM di mana pelaksanaan pematuhan SOP ini adalah sangat penting dalam usaha mengekang rantaian pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun MFL selaku penganjur sangat kesal kerana beberapa insiden pelanggaran pematuhan SOP berlaku dalam kempen TM Piala Malaysia 2021 di mana kita seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dan saya berharap perkara seperti ini tidak akan kembali berulang di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Baca artikel lain mengenai pelanggaran SOP dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Gagal Patuhi SOP, Terengganu FC Dan MFL Dikenakan Kompaun RM10,000

Piala Malaysia 2021: Kuala Lumpur City Dihukum Bermain Tanpa Penonton