Baru-baru ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kebenaran kepada beberapa sukan berkumpulan seperti bola sepak untuk menjalani latihan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dengan kebenaran diberikan oleh kerajaan ini, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kemungkinan akan memanggil pemain  bagi persiapan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual pada Oktober dan November 2020.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merancang untuk mengadakan kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin (quarantine based approach centralized camp) pada bulan September nanti.

“Sudah tentu kelab mungkin tidak akan melepaskan pemain di luar kalendar FIFA. Kem latihan pendek memang bagus tetapi ini adalah sesuatu yang harus disokong oleh setiap pihak yang berkepentingan.

“Saya lega setiap pasukan Liga Malaysia dibenarkan menjalani latihan. Walaupun ini sesi latihan tanpa bersentuhan, ia tetap permulaan yang baik,” katanya dalam New Straits Times.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: PFAM

Cheng Hoe turut berharap saingan Liga Malaysia musim ini tidak dibatalkan. Kelonggaran menjalani latihan itu sekurang-kurangnya dilihat sebagai satu petanda saingan domestik akan bersambung pada Ogos atau September depan.

“Pemain memerlukan perlawanan yang berkualiti untuk dapatkan semula keyakinan dan momentum mereka. Ini juga akan memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

“Sekiranya liga dibatalkan, saya perlu membuat program khusus untuk pemain kebangsaan menjelang perlawanan antarabangsa kami.

“Vietnam telah mulakan liga mereka manakala kelab di Thailand dan UAE sudah pun turun menjalani latihan. Ini pasukan yang berada dalam kumpulan kita di kelayakan Piala Dunia. Oleh itu, kita perlu melakukan persiapan dengan segera,” jelasnya.

Malaysia kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan G dengan 9 mata dibelakang Vietnam. Mereka berpeluang mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 jika terus mengekalkan aksi yang konsisten.

“Kalau tidak kerana wabak pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kalendar sukan, Malaysia mungkin sudah bermain sekurang-kurangnya 5 perlawanan antarabangsa pada tahun ini.

“Mana-mana jurulatih pasti akan risau jika pasukan mereka tidak bermain dalam perlawanan antarabangsa dalam tempoh yang lama,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Lahir Di Sarawak Bukan Tiket Automatik Samuel Bone Sarung Jersi Harimau Malaya

Adam Nor Azlin Tidak Goyah Sekiranya Marcel Kalonda Sarung Jersi Skuad Kebangsaan

Bruno Nazario, Pemain Terbaru Yang Dikaitkan Dengan Skuad Harimau Malaya