Roy Keane ternyata tidak berselindung dengan kemarahannya kepada pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire yang meraikan golnya dengan gaya menyindir penyokong sendiri dalam aksi berdepan Albania.

Kapten United itu menjaringkan gol pembukaan selepas menerima hantaran lintang Reece James sebelum menekup telinganya yang meluncur ke arah bendera di penjuru padang. Sindiran kepada kritikan terhadap persembahannya sejak akhir akhir ini.

Pundit lain seperti Ian Wright dan Jermain Defoe, juga senada dengan Keane bahawa tindakan daripada pemain pertahanan itu tidak perlu dan tak wajar.

Kritikan terhadap pemain pertahanan itu datang selepas prestasi buruk Manchester United yang menyaksikan mereka hanya memenangi satu daripada enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Keane, yang sebelum ini mengkritik Maguire, sekali lagi menyatakan kemarahannya kepada Maguire.

“Apabila pemain menjaringkan gol meletakkan tangannya di telinga, dia seperti mahu menutup pengkritik, tetapi saya fikir itu memalukan, dia telah memalukan Man United dalam beberapa bulan ini.”

“Dia fikir dia menjaringkan gol di sana dia menutup pengkritiknya, memalukan,” katanya semasa ulasan di studio ITV.

Bekas penyerang Arsenal, Wright, juga tidak begitu gembira dengan keraian itu, dan berkata:

“Saya rasa dia tidak perlu melakukannya. Ia sesuatu yang saya akan lakukan tetapi anda melihatnya sekarang dan fikir anda tidak perlu berbuat demikian kerana anda masih ada banyak lagi bola sepak untuk dimainkan.”

“Jangan beri mereka peluang untuk mengatakan apa yang mereka mahu kita lakuka, fokus kepada permainan kamu Harry.”

Defoe membuat kesimpulan: “Anda tidak perlu melakukannya, dia telah menjaringkan gol, ia adalah gol yang bagus.”

“Apa yang dilakukannya ialah meletakkan rasa kurang senang pada orang lain, mereka tidak sukakannya. Apa yang dilakukannya adalah memberi mereka peluang untuk menunggu persembahan buruk itu untuk mengungkitnya kembali.”