Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau tidak mahu keadaan padang yang kurang memuaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan sebagai alasan untuk para pemainnya tidak menampilkan persembahan terbaik ketika berdepan Timor Leste esok.

Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya menampilkan aksi terbaik pada aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tan Cheng Hoe

“Mungkin ramai yang kata saya mengadu tentang padang tetapi saya memang mengharapkan keadaan padang lebih baik kerana kita perlu mempamer aksi menarik, namun kita tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan,” katanya menurut laporan Utusan.

Sebelum ini, Cheng Hoe meluahkan kekecewaan beliau terhadap keadaan padang di SNBJ selepas menewaskan pasukan Nepal dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan Ahad lalu.

Permukaan padang memberikan sedikit masalah kepada pemain untuk menampilkan aksi terbaik mereka sekaligus merencatkan perancangan pasukan.

Bekas pengendali pasukan Kedah ini dijangka mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan berdepan Timor Leste pada hari ini.

Tan Cheng Hoe turut menyeru agar para penyokong untuk datang ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada para pemain.