Penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo kini berdepan sedikit masalah apabila beliau gagal menghubungi ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor yang juga merupakan Pengarah Urusan Offside Sports menurut laporan daripada Sinar Harian.

Ini merupakan kali pertama Mat Yo berhijrah ke kelab luar negara dan beliau kini amat memerlukan bantuan ejennya untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti situasi semasa wabak pandemik COVID-19.

Abdul Halim baru-baru ini dilihat memberi kenyataan kepada Malaysian Football League (MFL) mengenai kuota pemain import ASEAN dalam Liga Malaysia musim ini.

“Sudah banyak kali saya cuba menghubungi beliau (Halim) tetapi panggilan dan mesej yang dihantar langsung tidak berbalas. Saya tidak tahu kenapa.

“Tapi beberapa hari lepas saya ada terbaca laporan media yang mana dia memberikan komen terhadap isu mengapa ramai pemain Singapura menjadi pilihan kebanyakan kelab Liga Malaysia bagi kuota pemain import Asean.

“Jadi saya harap jika beliau terbaca berita ini, tolong hubungi saya kerana beliau yang bertanggungjawab membawa saya ke Thailand tetapi apabila saya berdepan masalah ketika ini, beliau menghilangkan diri,” katanya.

Mat Yo juga memerlukan nasihat daripada ejennya berkaitan dengan isu pemotongan gaji bersama kelabnya, BG Pathum United.

“Sama seperti di Malaysia, pemain di sini (Thailand) juga diminta berbincang untuk pemotongan gaji.

“Jadi dalam hal-hal berkaitan ini juga saya memerlukan nasihat dan bantuan daripada ejen kerana saya keseorangan di sini sebagai pemain luar,” katanya yang kini berada di Bangkok, Thailand bersama anak dan isterinya.

Pada musim lalu, beliau bermain untuk pasukan Pahang dan berjaya membantu skuad tok gajah meraih kedudukan kedua dalam saingan Liga Super. Sebelum ke Thailand, Mat Yo dikaitkan dengan beberapa pasukan di Malaysia, sama ada Liga Super ataupun Liga Premier.

Baca artikel lain berkaitan dengan perkembangan Mat Yo dalam saingan Liga Thailand melalui pautan dibawah. 

BG Pathum United Umumkan Jersi ‘Nameset’ Norshahrul Idalan Talaha Akan Dijual Pada Hari Isnin

Umpanan Padu Bekas Pemain Oita Trinita Ini Bakal Dinikmati Norshahrul Idlan Talaha Di BG Pathum United

Mat Yo Buat Penampilan Pertama, BG Pathum United Tersingkir Daripada Piala Pra Musim LEO