Hasrat skuad Harimau Malaya untuk
memperkukuhkan pasukan menjelang saingan peringkat kelayakkan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bakal menjadi kenyataan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia untuk meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendaftarkan pemain kacukan.

Difahamkan KDN akan meluluskan pendaftaran dua pemain kacukan bagi membolehkan mereka beraksi bersama pasukan kebangsaan. Meskipun FAM tidak mendedahkan sebarang nama, namun difahamkan pemain terbabit adalah Kobe Chong dan Armin Meier Rafi.

Kobe Chong
Sumber Gambar: Football Tribe

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya ketika ini sedang meneliti segala dokumen dua pemain muda itu, selain dua calon pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

“Sekiranya memenuhi syarat mengikut perlembagaan, mereka ini boleh bermain dalam pasukan kebangsaan dan juga insya-Allah Piala Dunia. Ini bukan satu perkara yang tidak munasabah.

Tan-Sri-Muhyiddin-Yassin

“Saya sudah minta pegawai meneliti dan selepas itu mereka akan bawa kepada saya untuk saya pertimbangkan empat orang ini. Insya-Allah, kita akan beri perhatian yang agak baik untuk permohonan ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kobe Chong, yang mempunyai darah campuran Malaysia-Jamaica mempunyai pengalaman beraksi di Eropah apabila beliau pernah menyertai pasukan akademi remaja West Bromwich Albion dan skuad B-17 tahun Cagliari.

Seorang lagi pemain, Armin Maier yang lahir di Jerman dengan memiliki darah campuran Malaysia-Singapura pula pernah beraksi untuk FC Young Lions dan FC Kreuzlingen di Liga Switzerland. Pemain berusia 21 tahun ini juga pernah beraksi bersama skuad B-22 tahun Singapura.

Ketika ini, Maier sedang beraksi bersama skuad Johor Darul Ta’zim II dalam saingan Liga Perdana.