Minggu lepas, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pendedahan tunggakan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang melibatkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) oleh wartawan sukan.

Malah, dokumen sulit yang sepatutnya berada dalam simpanan Malaysia Football League (MFL) dan LHDN didedahkan oleh seorang wartawan tersebut menerusi laman twitter sekaligus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, KDA FC dalam satu kenyataan rasmi menafikan sekeras-kerasnya mengenai tunggakan cukai tersebut dan bakal mengambil tindakan selaras dengan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej KDA FC. Satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.

Menurut CEO KDA FC, Khamal Idris Haji Ali, pihak peguamnya sudah pun menghantar satu notis tuntutan kepada wartawan itu untuk memohon maaf dalam tempoh seminggu.

Namun, tiada permohonan maaf diterima dan mereka terpaksa meneruskan tindakan undang-undang dan bawa kes ke mahkamah.

“Rentetan dari isu ciapan twitter wartawan berbaur fitnah kepada KDA FC pada 10 Oktober 2022, KDA FC melalui firma guaman dilantik, Farahazlinda & Co. telah mengeluarkan satu notis tuntutan kenyataan fitnah bertarikh 12 Oktober 2022 kepada Mohd Zulhelmi Zainal Azam.

“Selepas tamat tempoh 7 hari masa diberikan untuk melakukan demikian, tiada permohonan maaf secara bertulis diterima dari wartawan tersebut. KDA FC telah mengarahkan peguam yang dilantik untuk meneruskan tindakan lanjut di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, KDA FC juga kini sedang mengenalpasti pemilik akaun laman sosial yang mengeluarkan kenyataan tentang isu tunggakan gaji selama 5 bulan baru-baru ini.

“KDA FC telah menerima laporan sejak semalam berkenaan isu tuduhan bahawa KDA FC menghadapi tunggakan 5 bulan gaji dan dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi dalam Liga Super baru-baru ini.

“KDA FC menafikan sekeras-kerasnya sejak penubuhan KDA FC pada tahun 2021, kelab pada mana-mana tempoh menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan. Tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini.

“Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila wabak COVID-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dimana telah menjejaskan penajaan kelab.

:Ketika itu, pasukan Kedah dibawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama 5 bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu.

“Kenyataan pihak-pihak tertentu yang mengatakan KDA FC menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan adalah satu kenyataan fitnah dan KDA FC menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar,” kata Khamal Idris.