Hari ini peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan isu tunggakan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC).

Isu tersebut didedahkan oleh seorang wartawan sukan menerusi laman twitter sekaligus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat.

Menurutnya, kemerosotan pasukan Kedah mempunyai kaitan dengan isu tunggakan cukai sehingga menjejaskan pergerakan jurulatih dan pemain ke luar negara.

Bagaimanapun, KDA FC dalam satu kenyataan rasmi menafikan sekeras-kerasnya mengenai tunggakan cukai tersebut dan bakal mengambil tindakan selaras dengan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej KDA FC. Satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.

“Menerusi ciapan beliau, 1 salinan dokumen dengan kepala surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri kepada Kedah Darul Aman FC bertarikh 24 Ogos 2022 berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022.

“Dokumen sulit yang diperolehi secara tidak sah ini telah memberi gambaran buruk kepada kelab seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut. Hanya satu mukasurat dikongsi wartawan berkenaan.

“Pihak KDA FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan,” tulis kenyataan rasmi.

Malah, KDA FC turut terkejut dengan penyebaran dokumen sulit tersebut kerana ia sepatutnya berada dalam simpanan LHDN dan badan pengendali Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL).

“Untuk makluman, surat yang dikongsi oleh wartawan bernama Zulhelmi Zainal Azam sepatutnya hanya berada dalam milikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kedah Darul Aman FC berkenaan jadual penyelesaian pembayaran cukai dan tidak tertunggak sehingga ke hari ini dan salinan kepada Malaysian Football League (MFL) sebagai makluman penjadualan pembayaran cukai dan tidak tertunggak kepada Badan Perlesenan FAM bagi memenuhi syarat perlesenan tahun hadapan.

“KDA FC amat dukacita dengan penyebaran dokumen sulit berkenaan tanpa kebenaran dan rumusan dibuat wartawan tersebut telah memberi persepsi negatif kepada pengurusan kelab serta imej negeri Kedah.

“Penyebaran tanpa kebenaran ini adalah suatu bentuk pengkhianatan dan berniat jahat dan KDA FC akan membuat aduan kepada pihak LHDN dan MFL serta menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan dokumen sulit tidak menjadi senjata musuh yang cuba memberi gambaran buruk kepada KDA FC,” tegas Khamal Idris Haji Ali, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC.