Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pihaknya perlu berganding bahu dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bola sepak Malaysia bergerak ke arah yang lebih baik dan segala perancangan yang telah disusun berjalan dengan lancar.

Syed Saddiq berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Bukit Jalil semalam dan beliau menyatakan pembangunan bola sepak negara tidak hanya tertakluk kepada satu pihak atau individu semata-mata.

KBS
Sumber Gambar: FAM

YB Bro menegaskan: Pembangunan landskap bola sepak negara tidak hanya membabitkan satu pihak saja iaitu apabila kita susah, kita susah bersama dan senang sudah tentu bersama kongsi kesenangan itu.

“Oleh itu, saya mahu KBS jalinkan kerjasama dengan semua pihak terutama mereka yang ikhlas membangunkan bola sepak negara,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pada masa yang sama, ahli parlimen Muar itu menegaskan beliau yakin dengan pelaksanaan penjualan tiket dalam talian sepenuhnya dapat memudahkan penyokong dan mengelakkan masalah ulat tiket daripada berulang.

Syed Saddiq main bola
YB Syed Saddiq beraksi dalam satu perlawanan persahabatan.

Syed Saddiq menyatakan: Saya masih ingat lagi pernah beratur hingga tiga jam setengah untuk membeli tiket perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan, namun akhirnya habis sekaligus menunjukkan begitu sukar memperoleh tiket terbabit.

“Malah, ada rakan mendakwa ulat tiket mudah mendapatkannya tanpa perlu beratur panjang. Oleh itu tiket dalam talian ini mampu menyelesaikan masalah terbabit nanti.

FAM dan PSM menandatangani perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2020 dimana perjanjian tersebut menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan sebagai gelanggang sendiri skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi.