Khidmat kapten skuad kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin dilaporkan masih lagi diperlukan kelabnya, Kawasaki Frontale.

Masa depan Chanathip bersama kelab saingan Liga J1 itu seperti berada dalam ketidaktentuan apabila beliau telah diketepikan pada dua aksi awal bertemu Yokohama F. Marinos dan Kashima Antlers.

Keadaan itu membuatkan pelbagai spekulasi kedengaran yang mengatakan Chanathip dikaitkan dengan Vissel Kobe dan Urawa Reds serta turut dikatakan bakal kembali semula ke Liga Thailand.

Namun seperti dilaporkan oleh media Thailand, Main Stand – International, Kawasaki yang kini meraih tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kekalahan itu dikatakan langsung tidak berhajat untuk melepaskan Chanathip Songkrasin secara tetap atau pinjaman.

Malah, pemain tengah menyerang itu juga lebih berminat untuk terus kekal bersama kelab tersebut berbanding mengambil langkah lain.

Selain itu menurut sumber yang sama, ketiadaan Chanathip dalam dua perlawanan awal saingan Liga J1 merupakan sebahagian daripada perancangan pengurusan kelab tersebut.

Beliau dijangka akan membuat penampilan sulung musimnya sama ada pada hari Sabtu ini  apabila Frontale menanti kunjungan Shonan Bellmare atau Rabu depan dalam pertembungan Piala Liga J menentang Shimizu S-Pulse.

Selepas lima musim bersama Hokkaido Consadole Sapporo, Chanathip kemudiannya berhijrah ke Kawasaki Frontale pada musim lalu.

Sepanjang berada di Jepun, beliau telah membuat 144 penampilan dalam semua pertandingan dan menghasilkan 17 gol serta mencipta 25 bantuan jaringan.