Kelab Liga Jepun, Kashima Antlers telah mengumumkan di mana penyerang mereka, Hiroki Abe telah bersetuju untuk menyertai kelab gergasi La Liga, Barcelona bagi saingan musim 2019/2020.

Abe merupakan salah satu prospek skuad kebangsaan Jepun yang meningkat naik sejak akhir-akhir ini dan telah mengecapi kejayaan besar pada usia beliau yang baru mencecah 20 tahun seperti membantu Kashima Antlers memenangi Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun lalu.

Bekas pemain skuad bawah 19 tahun Jepun ini membuat penampilan pertama bersama pasukan senior dimana beliau disenaraikan untuk mewakili The Samurai Blue dalam temasya Copa America 2019. Penyenaraian Abe telah berjaya menarik minat daripada beberapa kelab elit di Eropah.

Hiroki Abe
Sumber Gambar: Mundo Deportivo

Akan tetapi, meskipun ada beberapa kelab elit Eropah yang berminat dengan khidmat Abe, Barcelona berjaya memenangi perlumbaan untuk mendapatkan khidmat pemain itu dan kini apa yang perlu dilakukan ialah ujian perubatan serta menandatangani beberapa terma yang ditawarkan.

“Sejak menamatkan pengajian di sekolah menengah, saya menghabiskan dua setengah tahun bersama Kashima dan berkembang menjadi seorang yang matang dan sebagai pemain bola sepak profesional.

“Sukar untuk saya membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan namun saya sudah menetapkan mahu menyertai FC Barcelona, dimana saya percaya cabaran yang berbeza adalah penting untuk saya jika saya mahu meningkatkan mutu serta kualiti,” kata Hiroki Abe kepada laman web rasmi kelab.

Abe dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik dalam saingan Liga Jepun musim lalu dan beliau mengikut jejak langkah rakan sepasukan, Takefusa Kubo yang menyertai seteru Barcelona, Real Madrid.

Hiroki Abe dijangka bakal beraksi bersama Barcelona B dimana staf kejurulatihan akan menilai kemampuan serta kualiti yang dimiliki oleh Abe.

Baca Juga: FC Barcelona Hantar Tawaran Rasmi Untuk Bawa Hiroki Abe Ke Camp Nou Musim Panas Ini