Selangor mungkin tidak berada di kedudukan memberangsangkan pada ketika ini tetapi pengendali pasukan, Karsten Neitzel tetap yakin dengan peluang anak buahnya untuk membenam cabaran Perak pada aksi Liga Super Malaysia 2021, malam ini.

Memetik sumber Berita Harian (BH) Online, ketua jurulatih kelahiran Jerman itu melihat kualiti baik ditampilkan meskipun tewas 1-2 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) tempoh hari mampu menjadi azimat berguna buat pasukannya.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin skuad diketuai Brendan Gan itu mampu untuk meraih kemenangan ke atas Perak yang masih lagi dibelenggu masalah tunggakan pembayaran gaji bulan Mac.

“Persembahan seperti ini [ketika bertemu Kedah] perlu diteruskan di mana pemain bermain dengan berani,” ujar Neitzel bercakap kepada BH Online.

“Kita mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol. Jadi kita perlu gunakan ia sebaik mungkin.”

Karsten Neitzel
Neitzel ketika mengendalikan sesi latihan Selangor di Shah Alam.

“Tidak mudah bermain seperti ini tetapi kalau kita teruskan, kita boleh memenangi aksi seterusnya [bertemu Perak].”

“Ada peningkatan dari segi persembahan walaupun keputusan tidak begitu baik,” tambah Karsten Neitzel lagi.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super, Selangor hanya mampu mencipta dua kemenangan iaitu ketika bertemu Sri Pahang [3-1] dan 2-0 sewaktu menentang UiTM FC.

Selebihnya, skuad Gergasi Merah mencatatkan dua keputusan seri dan tiga kekalahan untuk menduduki tangga ketujuh liga dengan mengumpul lapan mata.

Lebih menarik, statistik tersebut turut sama dilakarkan oleh Perak yang menyaksikan Selangor hanya berkelebihan dari segi perbezaan jaringan.

Oleh itu, ia merupakan satu perlawanan yang cukup menarik untuk disaksikan dimana kedua-dua pasukan juga merupakan musuh tradisi dalam sejarah bola sepak tanah air.

Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.

Kem Perak Masih ‘Aman’, Tiada Pemain Tinggalkan Pasukan

Karakter Pemain Muda TFC Gembirakan Nafuzi Zain

Pusat Pakaian Hari-Hari Jadi Penaja Baharu Liga Malaysia