Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel kekal bersama pasukan itu dan akan menggalas tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Utama bermula pada tahun 2022.

Status pengendali yang berusia 53 tahun itu sebelum ini menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong setia Gergasi Merah apabila Michael Feichtenbeiner diumumkan sebagai Ketua Jurulatih untuk menggantikan tempatnya.

Menurut kenyataan rasmi, Karsten akan terus menjadi tonggak penting dalam barisan kejurulatihan dan komited untuk melaksanakan projek Gergasi Merah.

“Pemahaman beliau tentang keberadaan pasukan dalam melaksanakan falsafah bola sepak dan gaya permainan yang diterapkan oleh Kelab, amat bernilai dalam meneruskan projek pembangunan dan membantu Ketua Jurulatih Pasukan Utama mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Karsten dan percaya kerjasama beliau bersama Michael Feichtenbeiner akan membuahkan hasil yang mampu membawa kejayaan kepada Kelab dalam masa terdekat,” tulis kenyataan rasmi.

Sepanjang dibawah kendalian Neitzel pada musim ini, Selangor berada di kedudukan kelima dengan 36 mata dalam carta Liga Super 2021 dan beraksi hingga peringkat suku akhir dalam saingan TM Piala Malaysia 2021.

Karsten sebelum ini pernah menjadi pembantu jurulatih untuk pasukan Freiburg di liga tertinggi Jerman, Bundesliga.

Sebelum tiba di Malaysia, beliau telah menjadi pengurus kepada kelab divisyen 4 Jerman, RW Essen sebelum memegang jawatan sebagai penasihat bagi SW Essen, bekas pemenang DFB-Pokal di Jerman selama semusim. Beliau juga pernah berkhidmat selaku pembantu ketua jurulatih di Liga Jepun (J-League) bersama pasukan Urawa Reds.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Piala Malaysia 2021: Kuala Lumpur City Dihukum Bermain Tanpa Penonton

Lim Teong Kim Calon Ketua Jurulatih Sri Pahang

TMJ: “Kalau Setakat Upgrade Fasiliti Sikit, Jual Baju Dan Buat Video, Real Chukai FC Pun Boleh Buat.”