Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel menegaskan tiga perkara utama yang berjalan dengan baik ketika sesi latihan telah menunjukkan kesediaan anak buahnya bagi menghadapi aksi sulung Liga Super 2021, Sabtu ini.

Tiga perkara yang dimaksudkan oleh jurulatih kelahiran Jerman itu ialah membabitkan tahap kualiti fizikal pemain, kualiti taktikal secara individu, dan kualiti taktikal keseluruhan pasukan yang mana kesemua perkara ini sudah berada di landasan yang betul.

Kelab gergasi Lembah Klang itu dilihat mampu menjadi antara pasukan pilihan bagi menyaingi kehebatan Johor Darul Ta’zim berikutan kehadiran pemaian-pemain berkualiti seperti Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan R. Dinesh.

Selangor juga turut diperkuatkan lagi dengan kehadiran tiga pemain import baharu, Oliver Buff,  Tim Heubach dan Manuel Konrad yang dilihat menepati citarasa Neitzel di samping mengekalkan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun Omosuyi dan pemain kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin.

Karsten Neitzel
Karsten Neitzel memberikan arahan kepada barisan pemainnya ketika sesi latihan. Kredit foto: Selangor FC

Sehubungan dengan itu, Neitzel melihat perkembangan positif dapat disaksikan dalam persiapan anak buahnya menjelang perlawanan sulung bertemu Pahang nanti.

“Kami harus tahu membezakan dan menilai tiga perkara yang diberitahu itu agar ia berada di laluan yang betul di mana usaha itu telah kami lakukan dalam 12 hari yang lalu.”

“Semua pemain secara taktikal berada pada tahap yang cukup baik dan kita harus meningkat tahap kualiti fizikal pemain-pemain di mana tiga perlawanan persahabatan yang telah diharungi benar-benar membantu perkembangan pasukan.

“Kami tidak akan berhenti untuk terus berusaha dan secara keseluruhan, untuk dua minggu terakhir ini, semuanya berjalan dengan lancar dan sekarang hanya perlu menambahkan beberapa peratusan di semua kawasan untuk bersedia aksi pada Sabtu ini”, ujar Karsten Neitzel.

Selangor FC akan menerima kunjungan Sri Pahang FC untuk aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super 2021 yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 Mac ini.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Yee Fatt Optimis Shakir Hamzah Mampu Beri Sumbangan Berkesan

Terengganu FC Terima Tajaan RM1.5 Juta Daripada redONE Network

Pemain Kacukan Bangladesh Debut J.League, Pemain Ke-3 Paling Muda Selepas Kubo Dan Morimoto