Ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya pada perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam.

Aksi antara JDT dan Selangor itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 setelah penyerang import kedua-dua pasukan, Ifedayo Olesegun dan Bergson da Silva masing-masing menjaringkan gol pada awal permainan.

Karsten nyata gembira dengan persembahan yang ditampilkan para pemain dan menggesa agar mereka mengekalkan momentum pada perlawanan akan datang.

“Para pemain menampilkan aksi yang baik. Mereka memberi cabaran hebat, mencipta peluang selain memberikan tekanan kepada pihak lawan.

“Apa yang penting bagi saya ialah selepas perlawanan, kami memerlukan mentaliti, disiplin dan corak permainan seperti malam ini pada setiap perlawanan yang akan dihadapi. Bukan hanya malam ini.

“Kami perlu beraksi seperti ini pada setiap perlawanan,” kata Karsten Neitzel pada sidang media selepas perlawanan.

Selepas meraih keputusan seri semalam, Selangor kini menduduki tangga kelima dalam carta liga.

Pada perlawanan seterusnya, Selangor akan menerima kunjungan daripada pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini iaitu Penang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

JDT Tolak ‘Tuah Penalti’, Selangor Riang Curi Satu Mata

Sarawak United Kekalkan Rekod Tanpa Bolos, Elavarasan Puji Aksi Taylor Regan

Dollah Salleh: “Saya Sangat Berpuas Hati Dengan Lee Tuck, Tukar Posisi Herold Goulon Atasi Kelemahan Pertahanan.”