Ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel sekali lagi memuji pemain gantian yang dimasukkan dalam kemenangan ke atas Petaling Jaya City pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ semalam.

Selangor yang ketinggalan sejak separuh masa pertama membuat kebangkitan apabila menjaringkan dua gol pada minit terakhir permainan menerusi Ifedayo Olesegun sekaligus kekal di tangga kelima dengan kelebihan 4 mata di hadapan PJ City dalam carta liga.

“Kami tidak beraksi dengan baik pada separuh masa pertama. Kami tidak mampu untuk mencipta peluang dan sering bergelut dengan gerakan serangan balas.

“Kami membuat beberapa pertukaran dan sekali lagi saya gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain gantian. Shahrel Fikri, Aliff Haiqal dan Dinesh berjaya menyempurnakan tugasan dengan baik,” kata Karsten Neitzel pada sidang media selepas perlawanan.

Kemasukan Shahrel dan Aliff dilihat menghidupkan semula barisan serangan yang dilihat sedikit bergelut untuk mencari peluang sekaligus menjaringkan gol.

Karsten turut mengesahkan pemain import iaitu Safuwan Baharudin yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa mengalami kecederaan kepala dan pemain dari Singapura itu terus dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pada perlawanan Liga Super seterusnya, Selangor akan turun berdepan Sri Pahang di laman lawan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Terengganu Mahu Cari Pemain Import Baharu Ganti Christopher Herd

Nafuzi Zain Nafi Anak Buah Terlalu Yakin Hadapi Penang

Penang Tiada Masalah Baham Penyu Di Stadium Sultan Mizan