Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Karnival tahunan kegemaran ramai Karnival Jom Heboh (KJH) kini kembali lagi! KJH bakal berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Jun (Sabtu dan Ahad) di Anjung Floria, Putrajaya seawal 8.00 pagi dan pelbagai aktiviti menarik menanti anda.

Kembali dengan edisi terbaru selaras fasa peralihan endemik, KJH kali ini dibawakan oleh pengendali perkhidmatan bayaran elektronik, DuitNow sempena Hari Rekreasi Putrajaya.

VOCKET juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai Karnival Jom Heboh yang kembali menggegarkan orang ramai dengan siri pertama karnival tersebut selepas dua tahun tidak diadakan.

Buat peminat bola sepak tempatan dan luar negara, pengacara VOCKET FC, Misdianto dan pengulas terkemuka, Hanif Miswan akan hiburkan anda dalam sesi Sembang Bola di Studio B nanti.

Anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik dengan menyertai pelbagai aktiviti di booth kami seperti acara timbang bola dan sesi menjawab kuiz.

Merchandise eksklusif daripada kami turut menanti. Nak tahu cara dapatkannya? Kenalah datang Anjung Floria Putrajaya hujung minggu ini. Jumpa anda di sana!

Selain VOCKET, acara padang tahunan anjuran Media Prima Berhad (MPB) ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti di reruai membabitkan TV3, TV9, DidikTV, Hot FM, Molek FM, Buletin FM, OH BULAN, SEISMIK, Waktu Solat Malaysia, WOWSHOP dan tonton.

Pelbagai aktiviti menarik, termasuk penampilan istimewa barisan selebriti popular tanah air menanti pengunjung. Perkhidmatan belon panas yang membolehkan orang ramai meninjau persekitaran Putrajaya ditawarkan pada harga murah melalui penggunaan aplikasi DuitNow.

Lebih istimewa lagi, pengunjung berpeluang untuk beramah mesra dengan artis kesukaan ramai di booth Media Prima Berhad tersedia seperti barisan pelakon Melur Untuk Firdaus dan Risik Pada Hati, Meerqeen, Anna Jobling, Zara Zya, Ummi Nazeera, Sophia Albarakbah dan ramai lagi.

Bagi peminat muzik, KJH mempersembahkan konsert legenda, Konsert Jom Heboh yang pasti memeriahkan malam minggu anda. Konsert ini berlangsung dua malam berturut-turut mulai jam 9 malam, Sabtu ini.

Konsert ini akan dihoskan penyampai radio terkenal Hot FM dan Buletin FM seperti AG, Ally Iskandar, Haiza, Ayu, Riena Diana, Muaz, Hawa Rizwana dan Imran Aqil. Antara artis yang akan membuat persembahan adalah Ara Johari, Ashtin, kumpulan Masdo, Insomniacks, Xpose, Amsyar Lee dan Ezad Lazim.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group