Salah seorang daripada 12 kanak-kanak daripada pasukan bola sepak di Thailand dikenali sebagai ‘Moo Pa’ yang terselamat ketika peristiwa gua Tham Luang di Chiang Rai pada 2018 dilaporkan meninggal dunia.

Laporan di Thailand mengatakan bahawa Duangpetch Promthep yang merupakan ketua pasukan telah meninggal dunia pada Selasa lalu di United Kingdom ekoran kecederaan di bahagian kepala.

Namun menurut sumber BBC, Polis Leicestershire berkata kematian pemain muda tersebut tidak dianggap sebagai sesuatu yang mencurigakan.

Promthep telah dibawa menaiki ambulans menuju ke Hospital Besar Kettering pada Ahad lalu. Difahamkan, sebuah helikopter turut dihantar ke tempat kejadian bagi memudahkan urusan.

Berusia 17 tahun, mendiang yang dikenali dengan panggilan ‘Dom’ telah mendapat tawaran biasiswa untuk menyertai Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House pada Ogos tahun lalu.

Kematian Dom itu turut disahkan oleh ibunya yang memaklumkan kepada kuil Wat Doi Wao di kampung halamannya, Chiang Rai. Kuil yang sering dikunjungi oleh Dom.

Promthep dan rakan-rakannya mencuri tumpuan dunia pada 8 Julai 2018 apabila terperangkap selama tiga hari selepas gua Tham Luang yang dimasuki ditenggelami air ekoran hujan menyebabkan banjir sehingga menarik perhatian pemimpin-pemimpin utama dunia.

Kredibiliti Unit SEAL Tentera Laut Thailand juga diuji pada ketika itu dengan pelbagai masalah termasuklah kehilangan anggota akibat kekurangan oksigen.

Namun, segalanya berjaya diselesaikan sehingga 12 kanak-kanak itu bersama jurulatih mereka, Ekapol Chantawong berjaya diselamatkan.

Sumber