Pemain bintang temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kaoru Mitoma melengkapkan perpindahan dengan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan dari kelab J. League, Kawasaki Frontale.

Mitoma tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik saingan J. League pada musim 2020, menjaringkan 13 gol dalam 30 perlawanan dan membantu Kawasaki memenangi trofi divisyen utama untuk kali ketiga dalam tempoh empat musim.

“Saya banyak belajar mengenai bola sepak semasa saya berada di Frontale. Saya percaya dengan mengikuti jejak pemain lama dan menampilkan persembahan terbaik, saya boleh membantu kelab ini serta pembangunan untuk dikenali oleh dunia luar.

“Saya sentiasa memiliki inspirasi dan mahu melakukan yang terbaik sebagai pemain bola sepak profesional. Sebab itulah saya membuat keputusan ini,” katanya.

Kaoru Mitoma menjaringkan lapan gol dalam 20 perlawanan J1 musim ini selain beraksi dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dimana Jepun menamatkan saingan di tempat keempat.

Selepas melengkapkan perpindahan, Mitoma bakal dipinjamkan ke kelab Belgium, Royale Union Saint-Gilloise yang turut dibeli oleh pemilik Brighton, Tony Bloom.

Selain Mitoma, beberapa pemain Kawasaki Frontale turut beraksi di Eropah musim ini seperti Ko Itakura yang menyertai Manchester City pada 2019, Hidemasa Morita yang beraksi bersama kelab Portugal, Santa Clara serta Ao Tanaka yang menyertai kelab divisyen dua Jerman, Dusseldorf secara pinjaman.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Hadi Fayyadh Mahu Fokus Proses Pemulihan Kecederaan Lutut

Dua Bekas Pemain Import Pertimbang Saman Perak FC

Tan Cheng Hoe Kecewa Tiada Aksi Persahabatan Untuk Harimau Malaya