Morocco berjaya menewaskan Kanada dengan keputusan 2-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan F temasya Piala Dunia 2022 sekaligus muncul sebagai juara kumpulan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Thumama, Morocco bermula garang apabila mereka membuka tirai jaringan menerusi Hakim Ziyech pada minit ke-4.

Pemain sayap Chelsea itu membuat rembatan dari jarak jauh dimana beliau memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol lawan, Milan Borjan yang kurang cermat ketika mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Youssef En-Nesyri kemudiannya menjaringkan gol kedua The Atlas Lion pada minit ke-23 dimana beliau membuat larian solo selepas menerima hantaran Achraf Hakimi dan melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Borjan sekali lagi.

Dibolosi dua gol nyata tidak melunturkan semangat pemain Kanada dimana mereka terus memberikan asakan ke kubu lawan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila menjaringkan satu gol dimana pemain pertahanan Morocco, Nayef Aguerd tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-40.

Kanada terus mencari gol penyamaan namun separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-1 memihak kepada wakil dari benua Afrika itu.

Memasuki separuh masa kedua, Kanada terus melancarkan serangan ke kubu lawan namun dikecewakan oleh jentera serangan yang tumpul serta disiplin bertahan tinggi yanh ditampilkan oleh pemain Morocco.

Pada minit ke-71, Kanada memiliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan dimana Atiba Hutchinson membuat tandukan dan terkena palang. Alistair Johnston cuba untuk membuat tandukan susulan namun sekadar melewati palang gol Morocco.

Kanada terus memberikan tekanan namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan dan keputusan 2-1 kekal sehingga pengadil meniup wisel penamat.

Satu lagi perlawanan kumpulan F melibatkan Belgium dan Croatia tamat dengan keputusan 0-0 sekaligus membolehkan Croatia mengiringi Morocco ke pusingan seterusnya. Belgium yang muncul sebagai pemenang tempat ketiga pada temasya edisi 2018 terkandas di peringkat kumpulan.