Drama panas kembali berlaku dalam kem pasukan Sabah apabila pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto direhatkan daripada tugasan sebagai pengendali pasukan berkuatkuasa mulai hari ini.

Perkembangan tersebut diumumkan oleh laman sosial Kelab Bolasepak Sabah (SFC) dan tindakan itu dipercayai berpunca daripada kekalahan besar 0-4 kepada pasukan tercorot Liga Super, UiTM FC semalam.

Tugas Kurniawan akan diambil alih oleh jurulatih tempatan Burhan Ajui buat sementara waktu bagi menghadapi baki 2 perlawanan terakhir Liga Super musim ini.

“Sabah FC mengambil keputusan untuk merehatkan Ketua Jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto berkuatkuasa hari ini.

“Dalam tempoh itu, Penolong Jurulatih, Burhan Ajui akan menggalas tugas buat sementara waktu manakala Jelius Ating dilantik sebagai Penolong Pengurus Pasukan Sabah FC yang baharu.

“Sabah FC yakin pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka ketika bersama-sama pasukan bola sepak Sabah sejak 2017 akan dapat membantu skuad badak dalam mengharungi baki perlawanan sekaligus terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” tulis kenyataan rasmi.

Sebelum ini, kontrak Kurniawan tidak disambung bagi menghadapi saingan musim 2021 dan Sabah melantik Lucas Kalang Laeng sebagai pengendali pasukan yang baharu pada bulan November 2020.

Namun, peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Football Club Sdn Bhd (Sabah FC), Datuk Verdon Bahanda menyaksikan bekas pemain import Sarawak itu kembali dilantik sebagai Ketua Jurulatih.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Rozaimi Abdul Rahman Kini Bukan Lagi Pemain Kedah

Kisah Anwar Ridhwan, Dari Pemain Bola Sepak Kepada Jurutera Kanan Syarikat Gergasi Minyak Negara

MFL: Naib Juara Liga Super Dan Juara TM Piala Malaysia Akan Terima Slot Ke Kejohanan AFC Cup 2022