Pemain Jerman, Kai Havertz menganggap tersingkirnya pasukan tersebut di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 saling tidak tumpah seperti sebuah filem seram.

Menang 4-2 ke atas Costa Rica dimana Havertz sendiri menjaringkan dua gol tidak langsung memberikan sebarang makna berikutan kejayaan Jepun menundukkan Sepanyol.

Keputusan itu hanya meletakkan Jerman di kedudukan ketiga dan terpaksa akur dengan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki Sepanyol walaupun kedua-dua pasukan mengumpul empat mata. Sementara itu, Jepun tanpa disangka-sangka bergelar juara kumpulan E.

Lebih pahit untuk ditelan seluruh kem juara empat kali Piala Dunia itu apabila sudah dua edisi berturut-turut Jerman tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan.

“Ia begitu pahit untuk ditelan oleh kami semua. Kami bercakap pada rehat separuh masa bahawa kami tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana apa-apa sahaja perkara boleh berlaku.”

“Kami tidak menjangkakan perkara itu [Jepun menang] berlaku. Ia seperti sebuah filem seram,” ujar Havertz menurut laporan dikeluarkan FotMob.

“Kami melihat jadual kedudukan semasa di stadium, kami juga mendapati situasi daripada penyokong dan reaksi pemain di bangku simpanan.”

“Masih ada harapan, kerana kami berpendapat bahawa Sepanyol akan mampu menjaringkan satu lagi gol. Kemudiannya kami melihat pada skrin bahawa perlawanan sudah berakhir dam itu sahaja.”

Dengan tamatnya peringkat kumpulan, Jepun bakal menghadapi cabaran Croatia di pusingan 16 manakala Sepanyol pula akan bertemu Maghribi, satu lagi pasukan yang mencipta kejutan dengan bergelar juara kumpulan.

Sumber